EURO 2024 akan menjadi pentas terakhir Giroud di Kejohanan Eropah. -FOTO AFP
EURO 2024 akan menjadi pentas terakhir Giroud di Kejohanan Eropah. -FOTO AFP
AFP

Duesseldorf, Jerman: Selepas tersingkir secara mengejut pada pusingan 16 terakhir dari Euro 2020 dan menamatkan saingan sebagai naib juara ketika menjadi tuan rumah pada 2016, Perancis boleh melakukan sesuatu yang besar dengan kemenangan ke atas Austria esok untuk terus melebarkan penguasaan mereka di kejohanan Euro tahun ini.

Les Bleus memenangi hampir semua pertandingan dalam bola sepak namun masih belum menggenggam Kejuaraan Eropah selama lebih dua dekad dengan pengurus Didier Deschamps mengambil peluang kedua untuk menjadi orang pertama memenangi Piala Dunia dan Euro, sebagai pemain dan jurulatih.

Austria lazimnya tidak menjadi masalah bagi Perancis tetapi pengurus Jerman, Ralf Rangnick mengetuai perubahan sejak dua tahun lalu dengan pasukannya tampil penuh keyakinan apabila hanya tewas sekali dalam 16 perlawanan terakhir mereka.

Penjaring gol terbanyak Perancis, Olivier Giroud yang berusia 37 tahun akan beraksi di Euro terakhirnya, berkata permulaan awal yang kukuh di Duesseldorf esok boleh mengurangkan sedikit tekanan di kejohanan itu.

Berdasarkan rekod pertemuan, Austria hanya memenangi satu daripada 10 perlawanan terakhir menentang Perancis.

"Kami cenderung untuk mengatakan bahawa ia bukan perlawanan penentuan tetapi ia adalah perlawanan penting," kata Giroud.

"Ia boleh meletakkan anda dalam kedudukan yang baik dan menguruskan dua perlawanan terakhir dengan lebih baik. Jika kalah dalam perlawanan pertama ini, anda wajib memenangi dua lagi."

Beberapa pengulas berpendapat ancaman terbesar kepada peluang Perancis di Jerman adalah diri mereka sendiri dan terbukti berlaku apabila mereka tersingkir dari Euro 2020 di pusingan 16 menerusi sepakan penalti selepas membiarkan Switzerland mendahului dua gol awal.

Walaupun banyak perlawanan pra perlawanan berlangsung sebelum kejohanan yang menyaksikan England antara pasukan pilihan, Perancis juga antara pasukan yang turut tersenarai dalam kedudukan itu yang mana Giroud berkata ia tidak harus dijadikan tekanan.

"Perkara itu tidak patut menyiksa kita, ia sepatutnya memberi kita keyakinan. Tetapi tidak terlalu banyak," katanya.

"Kita perlu berwaspada dan kita tahu bahawa tahap perlawanan akan meningkat pada kejohanan ini bermula dari hari Isnin, jadi kita perlu bersedia."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 7:34 PM