RONALDO (kanan) dan Schick akan bertembung semula Rabu ini. FOTO AFP
RONALDO (kanan) dan Schick akan bertembung semula Rabu ini. FOTO AFP
Reuters

Leipzig: Penjaring terbanyak bersama pada Kejohanan Eropah lalu iaitu bintang Portugal, Cristiano Ronaldo serta Patrik Schick dari Republik Czech akan berdepan antara satu sama lain apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi pembukaan Kumpulan F Euro 2024, Rabu ini.

Ronaldo dan Schick kedua-duanya menjaringkan lima gol pada Euro 2020 dan berkemungkinan akan memikul beban sama untuk pasukan mereka kali ini.

Kejohanan kali ini mungkin penampilan terakhir untuk Ronaldo, namun pemain berusia 39 tahun itu kelihatan sangat bersemangat untuk menjaringkan gol.

Selepas muncul penjaring kedua terbanyak dalam kempen kelayakan dengan 10 gol dan meledak 35 gol dalam 31 perlawanan liga untuk Al-Nassr musim lalu, Ronaldo berupaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan persahabatan terakhir menentang Ireland.

Walaupun Ronaldo menjulang trofi itu pada 2016, dia dilihat masih dahagakan kejayaan di pentas antarabangsa.

Dia bagaimanapun gagal membantu Portugal pada dua Piala Dunia berikutnya atau di Euro 2020, apabila mereka tersingkir pada pusingan 16 terakhir.

Bagaimanapun pengendali Portugal, Roberto Martinez masih kekal percaya dengan kemampuan Ronaldo.

"Kami mempunyai 23 pemain. Kami mencipta daya saing dan keputusan ditentukan dengan aksi di atas padang," katanya awal bulan ini.

"Tetapi Cristiano bersedia untuk membantu pasukan dan memberikan segala yang dia boleh berikan. Tidak ada pemain lain di dunia yang boleh membawa semangat di bilik persalinan seperti dilakukan Cristiano," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 9:16 PM