JUAN Torres Garrido. FOTO FAM
JUAN Torres Garrido. FOTO FAM
Syazwan Msarmohd


Kuala Lumpur: Perancangan skuad bawah 23 tahun (B-23) boleh dikatakan memasuki era baharu dengan pengendalinya Juan Torres Garrido sudah pasti akan melakukan perancangan terperinci bagi mengharungi kejohanan akan datang.

Sudah pastinya, tumpuan yang bakal diberikan oleh jurulatih baharu terbabit adalah perlawanan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung April tahun depan sekali gus diletakkan harapan oleh penyokong bola sepak tanah air untuk mendapat keputusan positif di kejohanan itu.

Justeru, harapan tinggi sudah pasti diletakkan ke atas bahu Garrido ketika ini untuk membawa perubahan besar terutama dari aspek persembahan corak permainan barisan pemain muda negara di atas padang.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memberi bayangan bahawa perancangan pasukan B-23 akan diserahkan sepenuhnya jurulatih itu.

Beliau berkata, dengan pelantikan semalam, maka bermulanya tugas buat Garrido untuk memacu Harimau Muda ke landasan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

"Setakat ini belum ada perancangan lagi (untuk skuad B-23). Selepas pelantikan jurulatih dan bermulanya tugas beliau, bermakna bermulalah perancangan yang akan dibuat bersama dengan barisan kejurulatihan yang lain," katanya.

Lebih menarik, Garrido akan bekerjasama dengan bekas pemain kebangsaan, Shukor Adan yang dilantik sebagai penolong jurulatih skuad B-23.

Namun, Garrido sudah pastinya mempunyai tugasan berat kerana perlu memulihkan kembali prestasi skuad B-23 selain membawa 'sesuatu' positif supaya skuad muda negara tidak lagi terus dikritik penyokong bola sepak tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 1:42 PM