PERENANG yang beraksi pada hari terakhir kejohanan ujian Olimpik Australia. -FOTO AFP
PERENANG yang beraksi pada hari terakhir kejohanan ujian Olimpik Australia. -FOTO AFP
AFP

Sydney: Ketua jurulatih renang Australia, Rohan Taylor menggesa skuad Olimpiknya supaya tidak terganggu dengan skandal doping China yang menggegarkan sukan itu, dan menyifatkannya sebagai "pembaziran tenaga."

Laporan pada April mendedahkan 23 perenang China diuji positif untuk menggunakan bahan terlarang iaitu ubat jantung trimetazidine - yang boleh meningkatkan prestasi - menjelang Sukan Olimpik Tokyo pada 2021.

Mereka tidak digantung atau dikenakan sekatan selepas Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) selepas menerima penjelasan pihak berkuasa China bahawa keputusan itu berpunca daripada pencemaran makanan di hotel tempat mereka menginap.

Skandal itu meletup lagi pada hari Jumaat apabila New York Times mendakwa tiga daripada mereka - termasuk dua pemenang pingat emas 2021 dan pemegang rekod dunia diuji positif untuk bahan terlarang dalam kes berasingan beberapa tahun sebelumnya.

China kemudiannya memberi kenyataan bahawa ketiga-tiga mereka menelan bahan itu secara tidak sengaja melalui daging yang tercemar.

Taylor berkata ia tidak berbaloi membuang masa bimbang tentang sesuatu yang mereka tidak boleh kawalan.

"Saya fikir bagi kami, secara dalaman, kami hanya boleh mengawal apa yang kami boleh kawal," katanya pada hari terakhir ujian Olimpik Australia.

"Naratifnya cukup jelas dan itu sahaja yang boleh kami lakukan. Kita harus percaya bahawa WADA dan Akuatik Dunia akan terus menyiasat dan bagi memastikan sukan ini sejajar dengan sukan yang bersih.

"Di situlah kami berada pada masa ini dan kami akan terus memantaunya, tetapi sejauh mana ia mengganggu kami dalam persaingan, saya fikir ia bukan perkara yang boleh dikawal oleh kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 6:20 PM