E Elavarasan. FOTO AIZUDDIN SAAD
E Elavarasan. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kerusi 'panas' sebagai pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara kembali kosong apabila penyandangnya, E Elavarasan secara rasminya melepaskan jawatan terbabit selepas setahun memimpin pasukan itu.

Situasi terbabit disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memaklumkan Elavarasan mahu memberi fokus kepada tugasan asalnya sebagai penolong kepada jurulatih skuad kebangsaan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menerusi kenyataan media berkata, keputusan itu dicapai selepas Elavarasan dan Presiden badan induk bola sepak negara Datuk Hamidin Mohd Amin mengadakan berkaitan perbincangan hala tuju pasukan B-23 selepas aksi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024.

"Dalam perbincangan dari hati ke hati itu, Hamidin dan Elavarasan mencapai kata sepakat dan persetujuan supaya beliau kembali fokus kepada tanggungjawabnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan bagi membantu Kim Pan-gon dalam skuad senior.

"Situasi terbabit sekali gus memberi ruang kepada individu lain untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih B-23 kebangsaan ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan.

"Hamidin turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sumbangan Elavarasan kerana tetap berjaya membawa pasukan layak ke Piala Asia B-23 2024, biarpun tewas 1-0 kepada Thailand pada aksi terakhir kelayakan, 12 September lalu.

"Pengganti Elavarasan sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan bagi menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar pada April depan hanya akan diumum selepas beberapa penelitian dan perbincangan dengan pihak yang terbabit serta kata putus yang akan dicapai nanti," katanya.

Mengikut rekod, bekas pengendali Sarawak United itu diumum sebagai jurulatih skuad B-23 pada 1 September tahun lalu bagi menggantikan Brad Maloney dan pada masa yang sama masih memegang jawatan sebagai pembantu kepada ketua jurulatih, Pan-gon dalam skuad senior negara.

FAM pada ketika itu membuat keputusan melantik Elavarasan bagi mengemudi skuad B-23 kebangsaan kerana beliau berada dalam sistem kejurulatihan Pan-gon, sekali gus memudahkan proses kesinambungan untuk skuad senior dan skuad B-23 negara itu.

Setahun di bawah kendalian Elavarasan, skuad B-23 kebangsaan berjaya menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac lalu dan biarpun gagal di Sukan Sea di Kemboja pada Mei, pasukan muda aitu berjaya layak ke separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada Ogos lalu.

Pasukan muda itu juga layak ke Piala Asia B-23 2024 selepas melepasi pusingan kelayakan di Chonburi, Thailand baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 11:35 AM