POSTER Zim Zim Ala Kazim
POSTER Zim Zim Ala Kazim
Georgie Joseph

Kuala Lumpur : Filem Zim Zim Ala Kazim meraih kutipan memberangsangkan sebanyak RM1 juta selepas tiga hari ditayangkan.

Pengarahnya juga penyanyi, Mawi, 43, bersyukur dengan sambutan positif terhadap karyanya itu.

"Alhamdulillah, pertama sekali saya sangat bersyukur dengan kejayaan ini. Ternyata sambutan yang diterima sangat baik sehingga meraih kutipan yang tinggi di pawagam.

"Malah, komen-komen yang diberikan oleh mereka yang sudah menonton juga sangat positif dan saya rasa ia antara faktor filem ini mendapat sambutan," katanya yang turut berlakon dalam filem itu.

Walaupun masih terlalu awal, Mawi menyimpan harapan besar agar filem itu akan mengekalkan momentum dari segi kutipan dan sambutan. 

"Selain mengarah dan berlakon, saya juga bertindak sebagai penerbit dan pastinya harapan saya agar kutipan filem ini terus meningkat.

"Apapun saya tetap berterima kasih kepada semua pihak yang sudah menyokong filem ini, kepada yang belum menonton pula cepat-cepatlah ke pawagam," katanya.

Mula ditayangkan sejak 13 Jun lalu, ia diterajui Datuk Ustaz Kazim Elias dan turut menampilkan Mawi sendiri, Bell Ngasri, Anas Tahir, Elvina Chuah, Zarina Anjoulie dan ramai lagi.

Zim Zim Ala Kazim berkisar mengenai pendakwah popular, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias yang pernah terkena penyakit misteri akibat disihir.

Ia adalah filem kedua arahan dan terbitan Mawi yang ditayangkan di pawagam selepas Tiada Tajuk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 6:55 PM