LORI terbabas di KM25 Jalan Lipis-Benta yang meragut nyawa Mohamad Suhamel Ismail. FOTO Ihsan polis.
LORI terbabas di KM25 Jalan Lipis-Benta yang meragut nyawa Mohamad Suhamel Ismail. FOTO Ihsan polis.
Amir Hamzah Nordin

Lipis: Penunggang motosikal yang dalam perjalanan pulang beraya di kampung halaman di Gua Musang, meninggal dunia selepas dirempuh lori di KM25 Jalan Lipis-Benta dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Ismail Man berkata, dalam kejadian 5.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Suhamel Ismail ,24, dalam perjalanan pulang ke Kampung Bertam (Gua Musang) dari rumahnya di Kepong, Kuala Lumpur.

"Kemalangan berlaku dekat Bulatan Benta, dipercayai ketika lori dipandu lelaki berusia 29 tahun cuba mengelak kereta rosak di tengah bulatan yang disebabkan kemalangan sebelum itu.

"Akibatnya, lori itu terbabas ke bahu kiri jalan dan merempuh mangsa yang dipercayai sedang berehat, menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian," katanya di sini hari ini.

Katanya, ketika kejadian, lori dalam perjalanan dari Klang ke Tanah Merah untuk menghantar muatan tilam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 7:22 PM