GARRIDO (kanan) buat persiapan skuad ubi muda negara.
GARRIDO (kanan) buat persiapan skuad ubi muda negara.
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Tugas berat bakal menanti pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) negara Juan Torres Garrido apabila beliau turut diberi tanggungjawab untuk mengendalikan pasukan bawah 20 tahun (B-20) kebangsaan kelak.

Hal ini bermakna, masa depan dan pencapaian skuad 'ubi muda' negara boleh dikatakan berada dalam tangan pengendali dari Sepanyol terbabit dalam usaha memperoleh keputusan positif di pentas antarabangsa.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi pasukan B-20 negara bakal mengharungi kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF), AFF B-20 pada Jun dan Kelayakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-20 September depan sekali gus mengharapkan Torres dapat melakukan persiapan rapi untuk pasukan muda negara itu.

"Jawatankuasa Eksekutif FAM meluluskan bahawa Juan Torres akan mengendalikan Pasukan Bawah-20 Kebangsaan sebagai Ketua Jurulatih.

"Juan Torres kini turut memegang jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan B-23 Kebangsaan," katanya, pada sidang media mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-10 Bagi penggal 2021-2025, di Wisma FAM, di sini, sebentar tadi.

Mengikut rekod, Torres dilantik sebagai pengendali B-23 negara bagi menggantikan E Elavarasan yang meletak jawatan sebelum ini.

Pengendali berusia 43 tahun itu sebelum ini adalah penolong jurulatih kepada Elavarasan dan pemilihannya dilihat mampu membantu pasukan muda negara meraih kejayaan positif.

Sepanjang tempoh 2024 boleh dikatakan Torres cukup sibuk apabila perlu menyiapkan barisan pemain muda negara bagi mengharungi kejohanan Piala Asia B-23 di Qatar Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 6:24 PM