SHUKOR mempunyai ciri-ciri jurulatih yang bagus.
SHUKOR mempunyai ciri-ciri jurulatih yang bagus.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City (KL City) FC Nenad Bacina yakin kehadiran pembantunya Shukor Adan dalam skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara mampu mempersiapkan barisan pemain mantap bagi menghadapi kejohanan Piala Asia B-23 tahun depan.

Bacina berkata, walaupun agak berat untuk melepaskan Shukor ke skuad muda negara namun beliau melihat perkara itu adalah baik demi masa depan bekas pertahanan Malaysia itu.

Beliau berkata, Shukor mempunyai ciri-ciri jurulatih yang bagus sekali gus mampu membantu pengendali skuad B-23 baharu Juan Torres Garrido mengharungi kejohanan antarabangsa kelak.

"Saya gembira untuk Shukor, dan saya juga bangga kerana bila dia sertai barisan kejurulatihan musim lalu, saya bekerja rapat dengannya, dari awal lagi dia sudah dapat perhatian daripada saya.

"Beliau sentiasa mahu belajar dan mempunyai karakter yang bagus, saya jangkakan masa depan cerah untuknya, saya rasa beliau mampu menyumbang sesuatu kepada skuad B-23 Malaysia," katanya.

Sebelum ini, nama Shukor diumumkan sebagai jurulatih skuad B-23 kebangsaan seterusnya akan memulakan tugas itu sejurus kontraknya bersama KL City tamat.

Torres yang juga bekas ketua pencari bakat bagi FC Barcelona diumumkan sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan E Elavarasan yang meletak jawatan sebelum ini.

Torres, 43, yang berasal dari Sepanyol sebelum ini adalah penolong jurulatih kepada Elavarasan dan pemilihannya dianggap tepat bagi memperbaiki kualiti pasukan muda negara itu.

Malah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yakin dengan kemampuan dua individu berkenaan untuk mengemudi skuad Harimau Muda menghadapi Piala Asia B-23 di Qatar, April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 3:00 PM