GEORGIE Abas bersama sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Sabah menjalankan pemeriksaan ke atas bekalan barangan mentah dan keperluan di Pasar Besar Kota Kinabalu. FOTO Facebook KPDN Sabah
GEORGIE Abas bersama sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Sabah menjalankan pemeriksaan ke atas bekalan barangan mentah dan keperluan di Pasar Besar Kota Kinabalu. FOTO Facebook KPDN Sabah
BERNAMA

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah telah mengambil tindakan ke atas 544 kes pelbagai kesalahan melibatkan rampasan RM5.18 juta untuk tempoh antara 1 Jan lepas sehingga semalam.

Pengarahnya George Abas berkata tindakan itu hasil pemeriksaan ke atas 31,206 premis perniagaan, dan kompaun sebanyak RM62,300 serta denda mahkamah berjumlah RM20,000 dikenakan terhadap mereka yang sabit kesalahan.

"Bagi tempoh itu KPDN Sabah menerima 1,073 aduan pengguna daripada pelbagai kategori yang berekod dalam sistem eAduan KPDN Sabah," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pemeriksaan ke atas bekalan barangan mentah dan keperluan di Pasar Besar Kota Kinabalu di sini hari ini mendapati bekalan untuk sambutan Aidiladha mencukupi.

"Tumpuan pemeriksaan termasuk gerai sayuran, ayam, telur, daging, kelapa parut dan santan yang menjadi antara barangan keperluan sempena Aidiladha," katanya.

Sementara itu, KPDN mengingatkan para peniaga tidak menaikkan harga barang serta perkhidmatan sesuka hati dengan kadar tidak munasabah tanpa alasan kukuh.

"KPDN akan menyiasat setiap aduan diterima mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan dan aduan berkenaan harga dan barang kawalan akan disiasat dalam tempoh 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 8:16 PM