Ahmad Fedtri Yahya dan Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Ketagihannya kepada dadah membuatkan seorang pemuda sanggup 'menjual' dirinya kepada pengedar tanpa mengira jantina semata-mata untuk mendapatkan barangan terlarang itu.

Sejak itu, selera dan naluri terhadap kaum sejenis bertambah kuat sehinggakan dia kini turut ketagih seks.

Bagi Boy, (bukan nama sebenar) yang kini menginjak usia 27 tahun berkata, dia mula mengambil dadah ketika berusia 18 tahun sebelum menjadi penagih tegar.

"Saya tidak dapat meninggalkan bahan terlarang ini kerana begitu gian sehingga sanggup mencuri. Akibat ketagih dadah, saya juga menjadi ketagih seks," katanya.

BOY ketika mendedahkan kisah hidupnya menerusi Aduan Jiwa siaran TV9 dalam episod Dihantui Nafsu - Dijamah Dua Jantina.
BOY ketika mendedahkan kisah hidupnya menerusi Aduan Jiwa siaran TV9 dalam episod Dihantui Nafsu - Dijamah Dua Jantina.

Boy mendedahkan kisah hidupnya menerusi Aduan Jiwa siaran TV9 dalam episod Dihantui Nafsu - Dijamah Dua Jantina.

Bercerita lanjut, Boy berkata, demi bahan terlarang itu, dia sanggup melayani sesiapa sahaja.

"Tidak kira usia, lelaki atau wanita, ada tua dan sebaya tetapi demi mendapatkan bekalan saya sanggup melakukan hubungan seks dengan pengedar. Saya tidak fikir apa, janji dapat. Tetapi kesan pengambilan dadah sejak muda menyebabkan saya menjadi ketagih seks melampau," katanya.

Menurutnya, dia kini cenderung ke arah meminati lelaki untuk mendapatkan dadah.

"Saya tidak kisah lelaki macam mana, asalkan ada dadah, paling banyak saya pernah dibayar RM500. Susah nak dapat (bayar duit), kalau dapat dikira hari bertuah.

"Paling lama saya dapat bertahan dua, tiga hari saja, selepas itu saya mula mencari dadah dan juga pasangan. Saya juga tiada pelanggan tetap, sesiapa saja yang menawarkan dadah boleh melanggan saya," katanya.

Boy berkata, dia pernah dihantar ke pusat pemulihan oleh ibu bapanya namun hanya bertahan enam bulan sebelum melarikan diri.

"Saya rasa terseksa dan tidak boleh ikut peraturan, pengisian program pemulihan bagus, tetapi saya tidak boleh ikut.

"Ketagihan ini membuatkan saya susah nak tinggal terutama apabila bercampur dengan kumpulan sama," katanya.

Ditanya adakah keluarganya cuba memulihkan hidupnya, Boy berkata, dia kini dibuang keluarga dan tiada seorang pun yang mengambil tahu halnya.

"Saya cuba balik tetapi mereka tidak terima, malah saya dihalau berkali-kali kerana mencuri. Saya sudah tiada rasa dalam hidup ini, saya hanya hidup untuk hari esok, semoga ada cahaya menanti saya dalam kehidupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 8:00 AM