ANGGOTA polis membawa Firdaus Farok hadir di Mahkamah Majistret Balik Pulau. FOTO Mikail Ong
ANGGOTA polis membawa Firdaus Farok hadir di Mahkamah Majistret Balik Pulau. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof

Balik Pulau: Seorang penganggur tidak mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya dan menghalang tugas penjawat awam dalam satu kes tular sehingga menyebabkan polis melepaskan satu das tembakan.

Tertuduh, Firdaus Farok, 36, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang Konstabel Mohd Azruredza Nikmat daripada menjalankan tugas awamnya dengan tidak memberikan kerjasama ketika diperiksa dan memecut laju kenderaan dipandunya sehingga ke hadapan Golden Triangle 2 Jalan Dato' Ismail Hashim.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sebagai pemandu van berwarna putih hijau telah memandu kenderaan tersebut secara melulu dan mendatangkan bahaya kepada orang ramai apabila jalan yang digunakan itu tidak sesuai dan banyak lalu lintas.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan bersalah.

Kesalahan itu masing-masing didakwa dilakukan sekitar jam 8.05 pagi dan 7.45 pagi bertempat di lampu isyarat Persiaran Relau, Jalan Dato' Ismail Hashim dan Lebuh Raya Tu Dr Lim Chong Eu susur bulatan Bayan Baru pada 10 Julai lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, R Lushani mencadangkan kadar jaminan masing-masing RM8,000 dan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan namun tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan dikurangkan atas alasan dia kini tidak mempunyai pekerjaan.

Peguam YBGK berkenaan turut memaklumkan tertuduh sudah bercerai dan mempunyai dua anak yang berada di bawah penjagaan bekas isterinya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM4,000 dan RM5,000 dan menetapkan 24 September depan sebagai tarikh serahan dokumen serta lantikan peguam.

Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memberikan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine kepada dirinya sendiri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya pada jam 4 petang, 10 Julai lalu,

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan pengawasan polis untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Huey Ting membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM2,200 sementara menunggu laporan kimia pada 24 September depan.

Pada 10 Julai lalu, media melaporkan polis terpaksa melepas satu das tembakan terhadap kenderaan dipandu seorang lelaki selepas suspek cuba melanggar anggota penguat kuasa di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ketika sepasukan polis cawangan trafik menjalankan Op Perdagangan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 1:26 PM