Syaherah Mustafa


Pasir Mas: "Saya sudah menagih sejak di bangku sekolah ketika berusia 13 tahun, kerana terpengaruh dengan rakan sebaya dan sehingga kini di usia 23 tahun, saya masih tidak dapat meninggalkan tabiat buruk ini," luah, Azhar, bukan nama sebenar.

Azhar antara 149 individu yang ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan dalam Operasi Perdana yang dijalankan di Kota Bharu, baru-baru ini.

Dia yang ketagih dengan dadah jenis pil kuda mengakui, mengambil sebanyak tiga biji sehari dadah berkenaan untuk mendapatkan tenaga selain menghilangkan rasa tekanan.

"Sepanjang zaman persekolahan saya sanggup tidak makan kerana mahu menggunakan wang saku yang diberi ibu untuk membeli dadah, malah beberapa kali ke sekolah dalam keadaan khayal.

"Susulan tidak dapat mengawal diri daripada mengambil dadah, saya akhirnya bersekolah sehingga Tingkatan Tiga sahaja dan menghabiskan sisa usia remaja dengan kancah dadah.

"Jujur saya katakan, saya mahu sahaja berubah dan pernah mencuba untuk tidak mengambil barang terlarang ini, namun gagal," katanya ketika ditemui di Lokap AADK Pasir Mas, di sini, semalam.

Selain itu, seorang lagi penagih, Man, 33, bukan nama sebenar, turut berkongsi kisah hidupnya yang mengambil sebanyak 15 biji pil kuda sehari, sejak 17 tahun lalu.

Dia yang juga bekerja sebagai pemandu lori, berkata mengambil dadah untuk ketenangan, mendapatkan tenaga sebelum bekerja selain menjadi ubat jika mengalami sakit badan atau gigi.

"Saya sebenarnya diibaratkan seperti kain buruk, sudah menghancurkan hidup sendiri dengan dadah, malah mengakui tidak bertemu jodoh susulan tiada wanita yang mahukan penagih sebagai suami.

"Bagaimana pun, saya cuba untuk berubah dan merayu kepada keluarga atau orang sekeliling untuk menyokong dan membantu saya, jangan hanya memandang serong yang membolehkan diri ini cepat berputus asa.

"Nasihat saya kepada anak muda lain, jangan sesekali ada rasa untuk mencuba atau mendekati dadah kerana ia memusnahkan masa depan, malah kesannya boleh dilihat pada diri saya sekarang," katanya.

Man ditahan oleh anggota AADK melalui Operasi Perdana bersama adiknya, berusia 26 tahun yang juga didapati mengambil barang terlarang berkenaan.

MAN (kanan) menceritakan kisah hidupnya kepada Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rohayu Ahmad, di Lokap AADK Pasir Mas, di sini, semalam. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
MAN (kanan) menceritakan kisah hidupnya kepada Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rohayu Ahmad, di Lokap AADK Pasir Mas, di sini, semalam. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 11:07 AM