JIGGY belum terfikir untuk cari pengganti.
JIGGY belum terfikir untuk cari pengganti.
Najiy Jefri


Episod kegagalan dalam perkahwinan selepas empat tahun mendirikan rumah tangga tidak membuatkan pelawak dan pelakon, Jiggy Masin, 31, serik untuk berkahwin lagi.

Sebagai individu yang pernah bergelar suami dia sentiasa mengimpikan untuk mempunyai keluarga sendiri, namun dia menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Ilahi.

"Bercakap fasal kahwin siapa tidak mahu mempunyai keluarga sendiri. Lagipun saya suka budak-budak, cuma masanya belum tiba.

"Saya percaya kepada ketentuan jodoh, akan tiba masa saya bertemu seseorang," katanya.

Tambah Jiggy, buat masa ini dia belum terbuka hati untuk mencari pengganti selepas lebih setahun memegang status duda.

Jiggy atau nama sebenarnya, Mohamad Aizat Ahmad Nazri berkata, apa yang menjadi fokus utamanya sekarang adalah hal berkaitan kerjaya dan keluarga.

"Apa yang berlaku dalam hidup saya adalah pengajaran dan pengalaman dalam hidup.

"Sehingga kini saya masih solo dan ingin memberi fokus kepada kedua-dua ibu bapa.

"Mungkin Allah mahu memberikan kesempatan untuk saya berbakti pada mereka terlebih dahulu.

"Disebabkan itu, saya mahu cuti sehari dalam seminggu untuk bertemu dan meluangkan masa bersama mereka, itu pesanan saya kepada pengurus sebelum menerima tawaran kerja," katanya ketika mempromosikan drama terbaharu, Seram Tak Seram secara virtual.

Terdahulu, Jiggy pernah mendirikan rumah tangga dengan pengacara, Elly Ariffin pada 2016. Bagaimanapun, mereka berpisah selepas empat tahun hidup bersama pada Januari tahun lalu.

KINI membintangi drama Seram Tak Seram.
KINI membintangi drama Seram Tak Seram.

Beralih mengenai pengalaman membintangi drama Seram Tak Seram, Jiggy mendedahkan dirinya berdepan beberapa situasi menyeramkan ketika berada di beberapa lokasi penggambaran.

Tanpa berselindung, Jiggy mengakui dirinya dianugerahkan dengan 'deria keenam' apabila mampu melihat makhluk ghaib.

Kongsi Jiggy, pernah beberapa kali dia terpaksa berpura-pura tidak terganggu apabila melihat kelibat yang menyeramkan.

"Deria keenam saya ini bergantung kepada situasi. Ada masa entiti ini menunjukkan diri, ada ketikanya memberi saya rasa dengan kehadirannya sahaja.

"Sepanjang menjalani proses penggambaran saya berdoa kelibat ini tidak mengganggu saya. Kewujudan entiti ini juga saya tidak bercerita, bimbang ganggu penggambaran. Lagipun, saya tahu mungkin ramai tidak percaya. Apapun, saya percaya apa yang saya nampak," katanya.

Seram Tak Seram adalah drama komedi seram yang memaparkan kisah di sebalik koleksi barang antik yang dijual oleh pemilik kedai bernama Sheikh Tahlul.

Selain Jiggy memegang watak Sheikh Tahlul, drama 13 episod siaran TV9 itu juga menampilkan Adam Corrie, Joey Daud, Didie Alias, Liza Abdullah, Afifah Nasir, Mia Nasir, Acong Sweetchild, Nasz Sally, Qazem Nor, Zarul Umbrella dan Den Wahab.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 6:45 AM