IRFAN Khan memuat naik video seolah-olah mati di landasan kereta api. FOTO Agensi
IRFAN Khan memuat naik video seolah-olah mati di landasan kereta api. FOTO Agensi
Agensi

Mumbai: Cubaan seorang influencer (pempengaruh) media sosial India merakam video menunjukkan seolah-olah dirinya maut selepas terjun daripada kereta api membawa padah apabila ditahan pihak berkuasa.

Dia juga didakwa dengan beberapa pertuduhan jenayah sebaik rakaman itu tular.

Portal Insider melaporkan Irfan Khan, 28, atau lebih dikenali dengan nama Iffy Khan dalam kalangan pengikutnya di Instagram (IG) ditahan di rumahnya, dekat Bandra di sini, Ahad lalu.

Iffy turut berdepan pertuduhan termasuk melakukan tindakan yang membahayakan nyawanya sendiri, menyebarkan mesej untuk menimbulkan gangguan dalam talian, mengganggu orang awam dan menceroboh.

Difahamkan, Iffy memuat naik video berdiri di tengah landasan kereta api pada Jumaat lalu.

Rakaman itu kemudiannya disunting dan kelihatan Iffy seperti terbaring serta mati di tengah landasan kereta api.

"Suspek memberitahu dia memuat naik video itu bagi menambah bilangan pengikutnya," kata Inspektor Polis Bandara, Devidas Aranye kepada The Times of India.

Sementara itu, Iffy mengakui kesilapannya merakam dan memuat naik video berkenaan.

"Saya rakam video itu untuk hiburan semata-mata dan ia satu kesilapan.

"Saya tidak mempunyai niat jahat atau mahu menggalakkan orang untuk bunuh diri," katanya yang menyifatkan video dimuat naiknya itu disalahertikan.

Menurut Iffy, video yang tular itu itu adalah bahagian pertama daripada keseluruhan rakaman.

"Dalam bahagian kedua, saya tersedar daripada mimpi dan lihat wajah keluarga.

"Mesej cuba saya sampaikan adalah memberi motivasi dan beritahu orang ramai supaya tidak cuba bunuh diri," katanya.

Video Iffy itu tular dan mendapat perhatian ketika personaliti media sosial kini berlumba-lumba untuk menghasilkan kandungan menarik bagi dimuat naik di platform masing-masing.

Pada 10 Julai lalu, personaliti media sosial dari Hong Kong, Sophia Cheung, 32, yang dikenali kerana sering memuat naik video misi pendakian mencabar, maut selepas terjatuh di air terjun.

Minggu ini, bintang TikTok dari China, Xiao Qiumei, 23, pula meninggal dunia selepas terjatuh dari ketinggian 4876.8 sentimeter (sm) ketika bersiaran langsung, di atas sebuah kren.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 6:30 AM