SHIGGY (kiri) bersama Drake.
SHIGGY (kiri) bersama Drake.
Michelle Gun

Selebriti Instagram, Shiggy yang mempopularkan lagu Drake, In My Feelings sehingga tular di seluruh dunia memberitahu tidak akan muncul dalam mana-mana video muzik penyanyi itu.

Ketika pengikutnya bertanyakan perkara itu di Instagram Story baru-baru ini, Shiggy hanya menjawab “Nahh SMH”.

Walaupun pertanyaan itu adalah secara umum, netizen menganggap soalan terbabit mengenai video muzik In My Feelings.

In My Feelings menjadi tular selepas Shiggy yang mempunyai lebih 1.7 juta pengikut memuat naik video menari lagu itu di Instagram beberapa minggu lalu.

Ada netizen kemudian mengubah cabaran itu dengan menari di luar kenderaan yang bergerak perlahan.

Populariti luar biasa cabaran itu berjaya menempatkan In My Feelings di tempat pertama carta muzik Billboard selama dua minggu berturut-turut.

Dalam pada itu, Shiggy turut menggunakan Instagram untuk menasihati pengikutnya supaya tidak melakukan cabaran tarian terbabit di luar kenderaan bergerak.

“#InMyFeelingsChallenge bukan untuk keluar dari kenderaan bergerak,” tulisnya di Instagram.

Ini kerana pihak berkuasa beberapa negara memberi amaran perbuatan seperti itu membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, sekali gus melanggar undang-undang.

Di Malaysia, cabaran In My Feelings turut popular dan beberapa artis berkongsi rakaman video cabaran masing-masing di media sosial.

Dalam perkembangan lain, Drake dan kumpulan trio Migos mengumumkan keputusan mereka untuk menangguhkan tarikh jelajah konsert di Amerika Syarikat.

Penangguhan itu disebabkan anggota Migos, Offset ditahan pihak berkuasa atas kesalahan memiliki senjata api dan dadah baru-baru ini.

Pada asalnya konsert The Aubrey and the Three Amigos Tour sepatutnya bermula di Salt Lake City, Utah hari ini.

Namun, ia diubah kepada 10 Ogos di Kansas City, Missouri.

Perubahan itu turut menjejaskan persembahan di Chicago dan perubahan tarikh di beberapa lokasi lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 1:30 PM