PERSONALITI Youtube  menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihannya, Nabilah Ramli semalam. FOTO Ihsan Twitter MOHAMAD SOFIAN ABDULLAH
PERSONALITI Youtube menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihannya, Nabilah Ramli semalam. FOTO Ihsan Twitter MOHAMAD SOFIAN ABDULLAH
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Personaliti Youtube dan pempengaruh laman sosial, Mohamad Sofian Abdullah atau dikenali sebagai Sofyank akhirnya menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihannya, Nabilah Ramli, pagi semalam.

Majlis persandingan kedua mempelai itu diadakan di Calamaya Garden, Kota Bharu, Kelantan.

Kira-kira dua jam lalu, Sofyank, 26, memuat naik gambar perkahwinan dengan isterinya dengan kapsyen 'Her' disusuli emoji hati di Instagram (IG) dan Twitter.

Perkongsian pemuda berasal dari Kelantan itu mendapat respon positif dengan rata-rata pengikut mengucapkan tahniah dan mendoakan kebahagiannya.

Bukan setakat itu, netizen turut memuji kecantikan isteri Sofyank yang berumur 24 tahun.

Bagaimanapun, ada juga netizen mengusik pemuda itu di ruangan komen dengan mengatakan gambar berkenaan disunting.

"Tahniah Sofian, semoga pernikahan kekal ke Jannah. Teruskan berkarya," ciap pengguna Twitter bernama Bayhaki

"Alhamdulillah, tahniah! Semoga dikurniakan keluarga sakinah, mawaddah, warahmah," tulis Amiliea, salah seorang pengikut Sofyank di IG.

Perkahwinan Sofyank bukan satu kejutan kerana pemuda itu sebelum ini sudah memberi bayangan dengan memuat naik gambar duduk di tepi tasik bersama isterinya lima hari lalu dengan kapsyen 'Stay tuned for the story about her'

Kelmarin, dia turut memuat naik video memohon pengikutnya mendoakan majlisnya berjalan lancar.

Sofyank mula menarik perhatian netizen selepas menerima jemputan untuk bertemu idolanya, pereka kandungan digital terkenal dunia Zach King, di Jakarta, Indonesia tiga tahun lalu lalu.

Zach King seorang personaliti YouTube dan terkenal dalam menghasilkan video suntingan unik dan kreatif sehingga tontonan lebih satu juta, melalui satu videonya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 3:10 PM