KESIHATAN Munira  bertambah baik selepas rawatan di Jerman. - Agensi
KESIHATAN Munira bertambah baik selepas rawatan di Jerman. - Agensi
Agensi

SEORANG wanita yang koma sejak 1991 akibat kecederaan kemalangan jalan raya, akhirnya tersedar selepas 27 tahun apabila terdengar anak lelakinya bertekak dalam bilik dia dirawat di hospital.

Wanita itu, Munira Abdulla mengalami kecederaan otak selepas kereta dipandu bapa saudaranya dirempuh bas di Al Ain, Emirah Arab Bersatu (UAE), pada 1991.

Menurut anaknya, Omar Webair, dalam temuramah dengan The National, dia ketika itu berusia empat tahun dan kemalangan berlaku ketika ibu dan bapa saudaranya itu menjemputnya dari tadika.

Menurut Daily Mail, Munira memeluk Omar bagi melindungi anaknya daripada impak rempuhan namun dia parah di kepala, manakala Omar hanya mengalami lebam.

Omar berkata, ibunya dihantar ke sebuah hospital di London untuk rawatan dan doktor mengesahkan dia koma sebelum wanita itu dipindahkan ke UAE dan terpaksa bergantung dengan alat pernafasan serta tiub untuk terus hidup.

Keluarga Omar bertuah apabila Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed, memberi perbelanjaan membantu Munira mendapatkan rawatan susulan di Jerman pada 2017.

Menurut Omar, selepas setahun dirawat di Jerman, iaitu pada 2018, ibunya membuat bunyi aneh dan tiga hari kemudian berupaya memanggil nama anaknya.

“Saya sangat gembira. Sudah bertahun saya mengimpikan saat bahagia ini dan nama saya perkataan pertama disebut ibu,” katanya.

Kini, Munira sudah boleh memanggil nama ahli keluarganya, membaca doa dan berbual dengan baik.

Pun begitu, dia masih terlantar dan perlu menghadiri sesi fisioterapi bagi merawat tisu otot.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 5:00 AM