GAMBAR asal Munira yang dirakam 10 tahun lalu (kiri) dan (kanan) selepas ia diubah kepada imej grafik.  - Agensi
GAMBAR asal Munira yang dirakam 10 tahun lalu (kiri) dan (kanan) selepas ia diubah kepada imej grafik. - Agensi
Agensi

Washington: Siapa sangka gambar yang dirakam 10 tahun lalu sebagai tindak balas terhadap retorik 11 September (9/11) akan menjadi satu daripada gambar ikon yang diarak oleh ribuan penunjuk perasaan dalam membantah tindak- tanduk Presiden Donald Trump.

Munira Ahmed, penulis bebas dari Queens di New York City menjadi simbol tidak mudah luntur sejak Trump mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari lalu.

Dalam wawancara dengan Al Arabiya English, Munira berkata, gambar itu asalnya dirakam oleh jurugambar yang berpejabat di New York, Ridwan Adhami untuk muka depan majalah Muslim Amerika, Illume Magazine, kira-kira 10 tahun lalu.

Ia dirakam di hadapan bangunan Bursa Saham New York, berhampiran bekas tapak Pusat Dagangan Dunia yang runtuh dalam serangan 11 September 2001.

“Saya merasakan ia sungguh simbolik dan perlu pada ketika itu untuk menunjukkan kami (Muslim) di sini bukan pengganas,” katanya.

Menurut Munira, dia teruja melihat gambar itu terpilih untuk menghiasi sepanduk Perarakan Wanita Menentang Trump yang diadakan sehari selepas Trump menjadi presiden.

Gambar itu dipilih oleh Yayasan Amplifier dan diubah kepada imej grafik oleh Shepard Fairey.

“Ia menjadi simbol kemajuan, harapan pemerkasaan dan diterima,” katanya.

Munira ialah anak sulung daripada dua adik-beradik perempuan dan amat rapat dengan adiknya. Bapanya ahli farmasi sementara ibunya, bekas ejen pelancongan yang kini aktivis dan pemimpin masyarakat.

Munira yang disifatkan rakannya sebagai berjiwa bebas dan suka berlawak berkata, dia berdepan dengan penindasan lama sebelum Trump menjadi presiden.

“Penindasan yang saya kerap hadapi ialah setiap kali pulang ke Amerika selepas ke luar negara. Setiap kali menghadapi pemeriksaan imigresen dan kastam di lapangan terbang, saya akan diarah untuk menjalani soal siasat untuk kali kedua, walaupun pada pasport saya jelas tercatat saya dilahirkan di negara ini.

“Saya yakin ia ada kaitan dengan nama saya - Munira Ahmed,” kata Munira.

Sementara itu, Ridwan Adhami, orang yang bertanggungjawab merakam gambar itu 10 tahun lalu memberitahu Al Arabiya English, baginya adalah penting untuk menghasilkan imej Muslim yang boleh dibanggakan, yang mempunyai kualiti dan mesej untuk disampaikan.

“Saya mahu sesuatu yang kami boleh banggakan dan sesuatu yang akan memberikan reaksi positif,” katanya.

Menurut Ridwan, dia memilih rakannya, Munira kerana mahukan seseorang berkulit gelap yang tidak menggambarkan makna kecantikan versi Barat.

“Mesej sebenar yang hendak saya sampaikan di sini ialah saya Muslim dan saya juga rakyat Amerika.

“Dan kedua-duanya dapat digambarkan dalam satu gambar yang tidak boleh dipisahkan.

“Anda boleh menjadi rakyat Amerika dan anda juga Muslim.

“Anda boleh berbangga dengan kedua-duanya,” kata Ridwan.

Katanya, dia begitu teruja apabila gambar yang dirakamnya 10 tahun lalu masih relevan dengan perkembangan politik Amerika Syarikat ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 5:08 AM