Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: "Kenapa saya tidak dibenarkan ke sekolah. Saya pun mahu belajar dan menjadi pandai seperti kawan-kawan yang lain," kata Siti Nur Puteri Balqis Abdullah, 8, kepada ibu saudaranya, Siti Nur Aimuni Mat Yunan, 29.

Menurut Siti Nur Aimuni, dia mengambil alih hak penjagaan Siti Nur Puteri Balqis atau mesra dipanggil Aisyah ketika berusia tiga hari selepas ditinggalkan oleh kedua-dua ibu bapanya dengan alasan ingin kembali seketika ke negara Thailand.

"Sejak ditinggalkan oleh kedua-dua ibu bapanya, Aisyah memanggil saya dengan panggilan mama, manakala datuknya, Mat Yunan Hamad, 58, pula dianggap sebagai bapa dengan panggilan abah," katanya.

Menurut Siti Nur Aimuni, bapa kepada Siti Nur Puteri Balqis yang juga abang sulungnya berkahwin dengan wanita warganegara Thailand.

Katanya, selepas dilahirkan, Siti Nur Puteri Balqis diserahkan kepada keluarga untuk dijaga.

"Sejak itu, abang serta kakak ipar menghilangkan diri dan sehingga hari ini gagal dikesan.

"Lebih menyedihkan, Siti Nur Puteri Balqis yang sepatutnya memasuki tahun dua pada awal Mac lalu terpaksa menangguhkan hasrat untuk kembali ke sekolah disebabkan dokumen kelahiran bertaraf bukan warganegara," katanya.

Menurut Siti Nur Aimuni, Siti Nur Puteri Balqis mempunyai dokumen sijil kelahiran merah sebagai pengenalan diri dan bagi mendapatkan kerakyatan yang sah, ibu bapa kandung kepada anak saudaranya itu perlu hadir ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi urusan pendaftaran.

Kata Siti Nur Aimuni ketika ditemui di rumahnya di Kampung Merbau di sini, walaupun dilahirkan di negara ini, Siti Nur Puteri Balqis berstatus bukan warganegara dalam sijil kelahiran.

SITI Nur Puteri Balqis Abdullah, 8, memikirkan masa depannya kerana ibubapanya menghilangkan diri selepas Siti Nur Putri Balqis dilahirkan dan sehingga hari ini tidak berjaya dijejaki. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SITI Nur Puteri Balqis Abdullah, 8, memikirkan masa depannya kerana ibubapanya menghilangkan diri selepas Siti Nur Putri Balqis dilahirkan dan sehingga hari ini tidak berjaya dijejaki. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Ini kerana, bapa kami tidak mempunyai maklumat lengkap berkaitan Siti Nur Puteri Balqis menyebabkan agak sukar untuk dia menerima bantuan persekolahan.

"Bagaimanapun, pada tahun lalu, ketika Siti Nur Puteri Balqis berada di tahun satu, dia sempat bersekolah, namun tidak dibenarkan mendaftar ketika memasuki tahun dua selepas pihak sekolah mencurigai dokumen kelahirannya," katanya.

Menurut Siti Nur Aimuni, dia sekeluarga sudah lima tahun berusaha mencari abangnya itu sehingga ke Thailand namun gagal dijejaki.

Mat Yunan pula berkata, dia berusaha mengesan anaknya itu sehingga ke pekan Thakbai selepas dia mendapat maklumat anaknya berniaga ikan di situ, namun gagal.

"Saya sudah putus asa hendak mencarinya, apatah lagi dengan keadaan pandemik Covid-19, pergerakan juga terbatas," katanya.\

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan Asrehan Ab Razak berkata, merujuk kepada kes itu, dokumen berkenaan adalah sah dan ia dikeluarkan oleh JPN, cuma kanak-kanak itu bertaraf bukan warganegara.

"JPN hanya mendaftar kelahiran kanak-kanak berdasarkan dokumen yang dikemukakan semasa mendaftarkan kelahiran," katanya dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 7:32 PM