RYAN Marlow. FOTO Agensi
RYAN Marlow. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Keajaiban apabila seorang lelaki di Amerika Syarikat (AS) yang diisytiharkan mati otak mula menunjukkan tanda ada harapan untuk hidup sejurus sebelum organnya mahu diambil untuk didermakan.

Daily Star melaporkan, Ryan Marlow, 37 dari Carolina Utara, mula bergerak-gerak selepas ditunjukkan video anak-anaknya.

Sebelum itu, bapa tiga anak itu dirawat selama dua minggu di Pusat Perubatan Kesihatan Wake Forest , akibat listeria iaitu jangkitan yang disebabkan oleh bakteria.

Isterinya, Megan menerusi siaran langsung di Facebook (FB) memaklumkan doktor menyatakan Marlow, secara klinikalnya, mati otak pada 27 Ogos.

Lelaki itu disenaraikan sebagai penderma organ dan ia bermakna dia masih bergantung kepada mesin sokongan hayat sehingga kemungkinan ada individu sesuai untuk menjadi penerima organnya.

Pada 30 Ogos lalu, keluarga Marlow berkumpul di hospital untuk mengucapkan selamat tinggal.

Apabila Megan tiba, dia diberitahu oleh anak saudaranya bahawa kaki suaminya bergerak-gerak selepas ditunjukkan video anak-anaknya.

Organ lelaki itu dijadualkan untuk dikeluarkan dari badannya untuk didermakan, dalam masa beberapa minit.

"... saya memberitahu jururawat 'hentikan segala-galanya sekarang'," katanya.

Marlow dikejarkan untuk imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) yang kemudian menunjukkan tanda aktiviti otak.

Menurut Megan, Marlow tidak mati otak dan doktor membuat kesilapan.

Megan berkata, Ryan masih mengalami kerosakan besar pada otaknya dan kekal koma.

Dia berkata, sejak itu, suaminya menunjukkan tanda positif termasuk lebih banyak pergerakan sekali-sekala, dan degupan jantung yang semakin meningkat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 1:16 PM