MUNIRA Wati Kadar@Kadir menguruskan adiknya, Noru Suriani Kadar@Kadir yang menderita sakit barah ovari tahap tiga. FOTO ihsan MUNIRA
MUNIRA Wati Kadar@Kadir menguruskan adiknya, Noru Suriani Kadar@Kadir yang menderita sakit barah ovari tahap tiga. FOTO ihsan MUNIRA
Ahmad Rabiul Zulkifli


Chukai: Munira Wati Kadar@Kadir mungkin tidak dikenali seperti pelakon popular tanah air namun, watak sampingan dibintanginya dalam beberapa drama dan filem yang menanggung kehidupan dia serta keluarga.

Namun, kini dia terpaksa berhenti kerja seketika untuk menjaga adiknya, Noru Suriani, 25, yang menderita barah ovari tahap tiga selain ibunya, Kaharifah Dolah, 55, yang uzur serta menghidap jangkitan kuman dalam darah.

Katanya, dia pulang ke kampung untuk menjaga dua insan kesayangannya itu sepenuh masa.

"Jika bukan saya yang menjaganya, siapa lagi yang diharapkan. Oleh itu saya sanggup balik kampung untuk menjaga mereka.

"Sejak Julai tahun lalu, adik disahkan menghidap penyakit itu dan dia tidak boleh menguruskan diri selain perlu menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang.

"Selama 15 hari kami berulang-alik ke hospital untuk rawatannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Baru Cheneh di sini.

Munira Wati atau lebih dikenali Munirah Kadir pernah berlakon dalam filem Gol dan Gincu 2 selain drama Cinta Lemon Madu dan Jue Ana.

Mengulas lanjut keadaan adiknya, dia memberitahu Noru Suriani menjalani pembedahan pada Disember lalu dan kini dalam proses rawatan pemulihan yang ditanggung sepenuhnya dia, hasil wang simpanan daripada berlakon dan peragaan pakaian.

Ibu tunggal empat anak itu berkata, pembelian susu khas dan lampin pakai buang adiknya sebanyak RM500 sebulan, manakala kos perubatan RM300 sebulan.

"Buntu juga memikirkan bagaimana mahu menampung kos ini tetapi saya yakin dengan rezeki. Di samping itu saya juga ada memohon bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk adik dan berharap permohonannya diluluskan.

"Ibu juga tidak sihat dan uzur, jadi saya perlu membantunya juga," katanya yang turut menyanyi dalam acara keraian.

Wanita itu buntu apabila mengenangkan wang simpanannya tidak cukup untuk menampung kehidupan mereka dan berharap beban diringankan selain, adik dan ibunya cepat sembuh.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 153092081220 atas nama Munira Wati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 7:55 PM