Syanty Octavia Amry


SYARIKAT Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) mengesahkan lima individu cedera selepas Sistem Mampatan Udara di Loji Rawatan Air SSP3 di Ijok pecah, hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Syabas, Abdul Raof Ahmad ketika dihubungi berkata, dalam kejadian 5 petang itu, lima kakitangan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Syabas cedera.

Mangsa sudah dibawa ke hospital swasta di Rawang untuk mendapat rawatan lanjut.

"Pihak Splash sudah memaklumkan insiden terbabit kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh).

"Justeru, kami akan memaklumkan status pemulihan baru dan akan bekerjasama dengan Splash bagi membantu kerja pembaikan," katanya.

Abdul Raof berkata, bantuan melalui lori tangki air akan digerakkan ke kawasan yang terjejas dan Pusat Khidmat Setempat Syabas beroperasi 24 jam setiap hari sehingga bekalan pulih.

"Kerjasama dan keprihatinan pengguna berhubung insiden yang tidak dijangkakan ini dan lanjutan masa pemulihan amatlah dihargai.

“Pihak kami mengambil segala tindakan perlu bagi mengurangkan impak gangguan dan kesulitan kepada pelangan yang terjejas," katanya.

Syabas menjangkakan pembaikan loji berkenaan akan selesai pada Jumaat ini, katanya.

Berita berkaitan:

Pekerja cedera, paip loji SSP3 pecah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 10:21 PM
SISTEM mampatan udara di Loji Rawatan Air SSP3, Ijok yang pecah. FOTO ihsan pembaca
SISTEM mampatan udara di Loji Rawatan Air SSP3, Ijok yang pecah. FOTO ihsan pembaca