GANGGUAN bekalan air berjadual membabitkan 290 kawasan di Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat akan pulih secara berperingkat bermula 15 Julai hingga 17 Julai. FOTO BERNAMA
GANGGUAN bekalan air berjadual membabitkan 290 kawasan di Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat akan pulih secara berperingkat bermula 15 Julai hingga 17 Julai. FOTO BERNAMA
BERNAMA

KERJA-KERJA penggantian dan penambahbaikan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) yang bermula pagi tadi, berjalan lancar mengikut jadual.

Air Selangor dalam satu kenyataan berkata, status kemajuan kerja penambahbaikan di LRA SSP3 adalah pada tahap 72 peratus berbanding dengan 53 peratus sasaran perancangan awal.

"Kemajuan ini adalah 19 peratus lebih awal berbanding tempoh masa kerja yang dirancang sebelum ini. Tempoh masa kerja penambahbaikan dan pemulihan loji dianggarkan selama 24 jam.

"Henti tugas LRA SSP3 ini telah mengurangkan pengeluaran air bersih sebanyak 472 juta liter sehari berbanding kapasiti normal sebanyak 800 juta liter sehari," menurut kenyataan itu.

Gangguan bekalan air berjadual membabitkan 290 kawasan di Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat akan pulih secara berperingkat bermula 15 Julai hingga 17 Julai seperti pautan khas di https://www.hentitugasssp3.airselangor.com.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 93 lori tangki air digerakkan ke 82 premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis di sekitar kawasan yang terjejas.

Air Selangor juga menempatkan 82 tangki statik di sekolah sebagai persediaan untuk pembukaan sesi persekolahan, klinik kesihatan dan pusat dialisis.

Orang ramai boleh merujuk kepada Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan www.airselangor.com bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai status bekalan air.

Pelanggan terjejas dinasihatkan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 8:37 PM