FOTO hiasan
FOTO hiasan
Muhd Izawan Baharin 

 

Kuala Lumpur: Bekalan air kepada 3.9 juta pengguna di 814 kawasan di Lembah Klang dijangka terjejas esok berikutan kerja senggaraan dan pemasangan sistem perlindungan arka oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pencawang Masuk Utama Bukit Badong, Hulu Selangor.

Kerja senggaraan yang dilakukan setiap tiga tahun itu bertujuan mencegah sebarang kerosakan atau gangguan bekalan elektrik tidak terancang di loji rawatan air.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAN Datuk Mohd Ridhuan Ismail berkata, kerja itu bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam dan mengambil masa 16 jam yang akan menjejaskan operasi di loji rawatan air (LRA) utama Sungai Selangor membekalkan air kepada 60 peratus pengguna di Lembah Klang.

Beliau berkata, loji yang terbabit ialah LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), LRA SSP2 dan LRA SSP3 yang keseluruhan membekalkan air terawat sebanyak 2,800 juta liter sehari.

“Henti tugas sementara loji rawatan air Sungai Selangor ini akan menyebabkan gangguan bekalan di 814 kawasan iaitu Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.

“Bekalan air dijangka pulih secara berperingkat selepas kerja senggaraan sistem bekalan elektrik selesai dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, pengguna diingatkan menyimpan air secukupnya bagi tempoh gangguan sementara itu.

“Pengguna yang ingin mendapatkan maklumat mengenai gangguan bekalan air boleh melayari laman web www.syabas.com.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 7:31 PM