SISTEM mampatan udara di loji SSP3 yang pecah. FOTO ihsan pembaca
SISTEM mampatan udara di loji SSP3 yang pecah. FOTO ihsan pembaca
Mohd Azam Shah Yaacob


BEBERAPA pekerja terbabit kerja pembaikan di Loji Rawatan Air SSP3, Ijok, Selangor cedera selepas sistem mampatan udara di loji itu pecah, 5 petang, hari ini.

SYABAS dalam satu kenyataan berkata, pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama pegawai Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd serta Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) berada di tapak ketika kejadian.

Katanya, kejadian itu menyebabkan kecederaan serius terhadap kakitangan yang berada di situ.

"Pihak SPLASH sudah memaklumkan kepada SPAN dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) berhubung kejadian itu.

"Susulan insiden itu, masa pemulihan bekalan akan tersasar daripada jadual asal seperti dimaklumkan dalam notis hebahan media sebelum ini," katanya.

Untuk makluman kerja pembaikan sudah siap dilaksanakan lebih awal dari masa ditetapkan iaitu pada 5 petang.

Bagaimanapun insiden berlaku ketika persediaan untuk mengaktifkan semula operasi loji.

"Pihak kami akan memaklumkan status pemulihan baru dan akan bekerjasama dengan SPLASH bagi membantu kerja pembaikan.

"Bantuan bekalan melalui lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan terjejas dan pusat khidmat setempat akan beroperasi 24 jam sehingga bekalan pulih," katanya.

Menurut kenyataan itu,SYABAS mengambil segala tindakan yang perlu bagi mengurangkan impak gangguan dan kesulitan kepada pelanggan terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 9:45 PM