PENDUDUK terjejas dinasihat mendapatkan bekalan bantuan di 16 PKS dan 17 lokasi Pili Awam. FOTO Arkib NSTP.
PENDUDUK terjejas dinasihat mendapatkan bekalan bantuan di 16 PKS dan 17 lokasi Pili Awam. FOTO Arkib NSTP.
Nur Lela Zulkipli


PENCEMARAN bau yang memaksa empat loji rawatan air (LRA) dihentikan operasinya semalam, dikesan berpunca daripada Sungai Liam, Batang Kali, Hulu Selangor.

Bagaimanapun, Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, agensi penguat kuasa berkaitan akan mengumumkan maklumat lanjut pencemaran di kawasan itu.

“Unit Kualiti Air Selangor dengan kerjasama pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Majlis Daerah Hulu Selangor menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pencemaran.

“Hasil siasatan berdasarkan tahap pencemaran bau yang tinggi adalah berpunca dari kawasan Sungai Liam, Batang Kali, Hulu Selangor,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Shah Alam, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Raof berkata, LRA di Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang sudah kembali beroperasi sepenuhnya.

“Sehingga 6 pagi tadi (hari ini), proses pemulihan keseluruhan kawasan masih lagi rendah iaitu pada tahap 19 peratus dan Air Selangor tidak dapat memberikan jangkaan pemulihan mengikut kawasan ketika ini.

“Pihak kami masih lagi dalam proses meningkatkan serta menstabilkan paras kolam dan tekanan di sistem agihan bagi proses pemulihan air secara berperingkat,” katanya.

Dalam masa sama, 16 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 17 lokasi Pili Awam diaktifkan bermula hari ini pada 9 pagi bagi mengagihkan bantuan air kecemasan kepada pelanggan yang terjejas.

“Memandangkan insiden ini membabitkan kawasan berskala besar, pihak kami tidak dapat memenuhi permintaan bantuan bekalan air melalui lori tangki air kepada semua pelanggan yang terjejas.

“Bantuan lori tangki air digerakkan dengan keutamaan kepada pelanggan dan premis kritikal serta kecemasan,” katanya.

Justeru, bagi mengelakkan kelewatan penerimaan bekalan air melalui lori tangki air, pelanggan dinasihatkan agar mendapatkan bantuan air kecemasan di PKS dan pili awam yang disediakan.

“Aplikasi telefon bimbit Air Selangor sedang mengalami masalah teknikal buat masa ini dan untuk mendapatkan maklumat dan status terkini pelanggan boleh melayari laman sesawang www.syabas.com,my , Facebook “Air Selangor” dan Twitter @airselangor atau hubungi di talian 15300,” katanya.

Semalam, Air Selangor memaklumkan belum dapat memastikan tempoh pemulihan bekalan air ekoran insiden pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 10:31 AM