CHOONG Hon Jian (kanan)-Muhammad Haikal (kiri) menang ketika menentang rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong pada Pusingan kelayakan badminton Masters Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil. FOTO ASWADI ALIAS
CHOONG Hon Jian (kanan)-Muhammad Haikal (kiri) menang ketika menentang rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong pada Pusingan kelayakan badminton Masters Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Haikal Nazri mengakui tidak sabar untuk berdepan satu lagi pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas mereka mengetepikan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong dalam aksi pusingan pertama Masters Malaysia di Axiata Arena sebentar tadi.

Hon Jian-Haikal tidak berdepan masalah untuk mengalahkan Azriyn-Wee Kiong 22-20, 21-19 dan bersedia untuk berdepan satu lagi pasangan negara, Wei Chong-Kai Wun di pusingan kedua Khamis ini.

Menurut Haikal, dia menyedari kemampuan lawannya hari ini yang juga bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 (Wee Kiong) namun apabila melangkah msuk ke dalam gelanggang dia dan pasangan tidak memikirkan status berkenaan.

"Saya tahu kemampuan dia dan dia adalah senior saya namun sebab mahu mencari kemenangan, jadi perkara ini tidak mengganggu kami beraksi," katanya selepas perlawanan tamat sebentar tadi.

Ujar Haikal, siapa yang akan menang di pusingan kedua nanti berkemungkinan berdepan pasangan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu dan dia tidak mahu melepaskan peluang keemasan berdepan pilihan ketiga itu.

"Saya hendak sangat lawan mereka, mahu membalas dendam kekalahan hari itu (separuh akhir Piala Thomas). Kalau bertemu mereka saya mahu beri yang terbaik.

"Kalau saya, memang suka lawan yang kuat, jadi tiada tekanan. Bila seperti itu kami boleh menikmati aksi sama seperti meraih trofi pertama ketika menumpaskan Akira Koga-Taichi Saito. Aksi dengan Wei Chong-Kai Wun pula tekanan di tangan mereka sebab muncul naib juara (tahun lalu)," katanya.

Wei Chong-Kai Wun yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh mara ke pusingan kedua selepas mengalahkan wakil Taiwan, Chiang Chien Wei-Wu Hsuan Yi 22-20, 21-12.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King tidak berdepan masalah mara ke pusingan kedua selepas menumpaskan Xie Hao Nan-Zeng Wei Han 21-16, 21-12.

Mereka bakal berdepan pilihan keempat dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan yang menang 21-15, 21-15 ke atas Christo Popov-Toma Junior Popov (Perancis).

Turut mara ialah pilihan kelima, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang Berjaya mengalahkan rakan senegara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 21-11, 21-19.

Menanti mereka di pusingan kedua ialah pemenang di antara Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul (Thailand) dan Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi (Hong Kong).

Beregu Wanita negara, Go Pei Kee-Low Yeen Yuan yang menyingkirkan wakil Ukraine, Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr 21-15, 21-15 dan bakal berdepan pilihan kelapan dari Australia, Setyana Mapasa-Angela Yu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 8:36 PM