Laporan mengenai kemalangan yang mengorbankan Nur Hazwani dan gambar kenangan Mohd alif bersama Nur Hazwani.
Laporan mengenai kemalangan yang mengorbankan Nur Hazwani dan gambar kenangan Mohd alif bersama Nur Hazwani.
Nur Syazwana Mansor


Gurun: "Alif dah hadiahkan surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas untuk mama dan doakan semoga mama tenang di sana," ujar Mohd Alif Iskandar Mohd Badrul, 7, ketika ditanya wartawan mengenai kematian ibunya.

Mohd Alif kini anak yatim selepas ibunya, Nur Hazwani Zahari, 31, maut selepas tercampak keluar dari lori apabila kenderaan dinaikinya itu merempuh belakang treler di Kilometer 177.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Bagan Serai, pada jam 2.53 pagi semalam.

Menurut bapa mangsa, Zahari Osman, 56, beliau menerima berita pilu itu kira-kira jam 3.15 pagi selepas diberitahu anak lelakinya yang dihubungi rakan arwah yang juga pemandu lori terbabit.

Katanya, berita berkenaan amat mengejutkan mereka sekeluarga sebelum dia bersama anak lelakinya bergegas ke Hospital Parit Buntar, Perak untuk melihat keadaan anak perempuannya sebelum dimaklumkan Nur Hazwani sudah meninggal dunia.

Sementara itu, ibu mangsa, Ramlah Abdullah, 54, berkata, kali terakhir dia bertemu anak perempuannya itu adalah pada Selasa lalu sebelum arwah keluar bermalam di rumah rakan perempuan di Taman Gurun Jaya dan pergi bekerja sebagai kelindan lori, di sini.

Ramlah berkata, sebelum kejadian arwah yang berstatus ibu tunggal sejak bercerai enam tahun lalu dilihat lebih banyak berdiam diri dan bersendirian.

Katanya, sejak itu, mereka sekeluarga bersama-sama membantu arwah menjaga dan membesarkan anak tunggalnya, Mohd Alif Iskandar.

"Cucu kami (Alif) tinggal di asrama sekolah tahfiz di Guar Chempedak dan hanya ada di rumah pada hujung minggu, jadi arwah sering sibukan diri dengan pelbagai kerja dan jarang ada di rumah untuk kurangkan rasa rindu pada anaknya.

"Selepas berhenti kerja di sebuah hotel, arwah membuat kerja sambilan dengan menjadi kelindan lori, dengan pendapatannya itu dia gunakan untuk sara serba sedikit keperluan anaknya manakala selebihnya masih ditanggung oleh suami saya," katanya.

Katanya, pada mulanya, pihaknya mengalami kesukaran untuk memberitahu Alifmengenai kematian ibunya itu, namun akhirnya akur dengan suratan takdir dan berterus terang dengan Alif.

"Pada mulanya dia seperti kurang faham apa yang berlaku, namun sebaik lihat majlis pengebumian, dia mula sedar bahawa mamanya sudah tidak ada lagi.

"Dia menangis teresak-esak bila tengok jenazah arwah hendak dikebumikan, kami cuba pujuk dan dia akhirnya dapat menerima, malah turut membaca surah al Fatihah dan surah al Ikhlas untuk ibunya," katanya.

Jenazah Nur Hazwani selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Seri Jerai, petang tadi.

Berita berkaitan:

Tercampak keluar lori sebelum maut

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 10:05 PM