Keadaan lori yang remuk sehingga mengakibatkan seorang wanita terbunuh. FOTO Shaiful Shahrin Ahmaf Pauzi
Keadaan lori yang remuk sehingga mengakibatkan seorang wanita terbunuh. FOTO Shaiful Shahrin Ahmaf Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


WANITA maut tercampak keluar dari lori selepas kenderaan dinaikinya itu merempuh belakang sebuah treler kontena di Kilometer 177.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Bagan Serai pagi ini.

Dalam kejadian jam 2.53 pagi itu, mangsa Nur Hazwani Zahari, 31, dari Gurun, Kedah difahamkan menaiki kenderaan yang dipandu rakan lelakinya, Mohamad Khalis Che Umar.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kemalangan itu menyebabkan wanita terbabit maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Katanya, siasatan mendapati lori yang dipandu Mohamad Khalis cuba memotong treler di hadapan namun gagal sehingga menyebabkannya melanggar bahagian sisi kanan kenderaan berat berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa yang difahamkan berada di bahagian penumpang hadapan tercampak keluar dari lori.

"Mangsa bagaimanapun disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik yang tiba manakala pemandu lori dan lori kontena tidak mengalami kecederaan," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 8:08 PM