PUTRA Adam di sisi pusara arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Padang Sebang. FOTO Norizzah Baharudin
PUTRA Adam di sisi pusara arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Padang Sebang. FOTO Norizzah Baharudin
Norizzah Baharudin

Alor Gajah: Biarpun sudah empat tahun berlalu namun Putra Adam Noramzar Syahrizal, 9, masih menziarahi pusara ibunya Norzalina Ismail di Tanah Perkuburan Islam Padang Sebang, di sini, untuk melepaskan rindu.

Sebelum ini, Putra Adam menziarahi pusara ibunya setiap hari namun selepas mula bersekolah menyebabkan dia hanya ke tanah perkuburan itu pada sebelah petang setiap Khamis dan Jumaat selepas tamat kelas membaca al-Quran.

Ketika ditanya kerinduan terhadap ibunya yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru pada Januari 2013, Putra Adam pada mulanya terdiam seketika sebelum mengukirkan senyuman.

Kanak-kanak itu yang tinggal bersama neneknya Kamariah Haroon, 58, di Taman Sebang Gemilang, di sini, berkata, dia mula mengerti dan reda dengan pemergian insan paling disayangi serta menghadkan masa menziarah pusara pada hari tertentu sahaja selepas dinasihatkan orang ramai.

“Jika dulu saya ke pusara arwah mama setiap hari tanpa mengira waktu kerana rindu hendak berborak dengan mama. Walaupun tahu tiada sahutan daripada mama namun saya tetap meluahkan apa sahaja padanya.

“Saya cuma simpan sekeping gambar mama, hanya itu yang ada untuk saya tatap setiap hari untuk lepaskan rindu. Nenek sentiasa ingatkan saya supaya hadiahkan arwah mama dengan doa dan surah.

“Sekarang saya mula dengar nasihat orang ramai agar menghadkan masa menziarahi pusara arwah mama kerana tidak mahu kelaziman itu mengganggu pelajaran di sekolah selain kegiatan harian semakin padat,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Kamariah berkata, dia tidak mungkin berupaya menghalang keinginan Putra Adam menziarahi pusara ibunya, namun pada masa sama tetap memantau pergerakan cucu kesayangannya.

Menurutnya, Putra Adam akan dibesarkan dengan penuh kasih sayang bukan saja daripada keluarga kandung, tetapi beberapa keluarga angkat yang tidak pernah lupa mengunjunginya apabila kelapangan.

“Setiap kali ke tanah perkuburan Adam akan ‘berborak’ dengan arwah ibunya sambil memegang, mengusap dan memeluk nisan, kerana itu adalah cara dia meluahkan rasa kasihnya.

“Putra Adam anak yang kuat, dia mampu tersenyum sambil mengadu pada arwah ibunya dan kami sama-sama hadiahkan al-Fatihah setiap kali ke pusara. Saya tahu dia rindu perhatian dan manja dicurahkan arwah,” katanya.

Katanya, demi memastikan masa depan Putra Adam terjamin dan cemerlang dalam pendidikan, dia menyimpan wang disedekahkan keluarga angkat dan orang ramai ke dalam satu akaun bank khas, selain membuka akaun Tabung Haji.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 5:53 AM