AZMANURA (kanan) dan anaknya, Nazran Azim, 12, menunjukkan gambar perkahwinannya dengan Mohd Dali. FOTO Nor Amalina Alias
AZMANURA (kanan) dan anaknya, Nazran Azim, 12, menunjukkan gambar perkahwinannya dengan Mohd Dali. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Bachok: "Arwah peluk saya beberapa kali dan berulang-ulang beritahu sayang mama, sayang mama... rupa-rupanya itu pelukan terakhirnya," kata isteri kepada pemandu lori yang maut dihempap lori tiga tan di kuari Bukit Mak Lipah, Pasir Puteh pada Rabu lalu.

Kenangan sedih itu dikongsi Azmanura Awang, 43, ketika mengimbau kali terakhir dia melihat suaminya, Mohd Dali Mohd Yunus, 53, bersiap ke tempat kerja.

Lebih memilukan kemalangan yang meragut nyawa suaminya berlaku pada hari pertama mangsa bekerja di kuari berkenaan.

Azmanura berkata, sebelum ini suaminya bekerja membawa lori sendiri dengan mengambil upah menghantar pelbagai jenis barangan ke serata negeri.

"Dia (arwah) baru jual lori lama dan beli lori tiga tan itu dengan tujuan mahu bekerja di kuari dan kawasan berdekatan supaya dapat lebih masa bersama keluarga.

"Arwah juga kata dia boleh bagi duit lebih dengan kerja baru, namun rupa-rupanya itu tanda dia akan meninggalkan kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Serdang Muda, di sini.

Azmanura berkata, arwah juga berkelakuan pelik apabila bersikap lebih manja dengan anak-anak selain kurang bercakap.

Katanya, arwah memang bekerja membawa lori sejak muda dan sebelum ini membawa lori tangki sebelum membeli lori sendiri dan mengambil upah menghantar barang.

"Arwah memang minat bawa lori, bila dapat tahu kemalangan yang menimpa arwah, saya terlalu terkejut," katanya.

Allahyarham meninggalkan enam anak berusia dua hingga 17 tahun.

Dalam kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas dihempap lori yang dipandunya ketika sedang bekerja mengangkut muatan tanah di kuari berkenaan.

Allahyarham Mohd Dali yang turut dikenali sebagai Sohok mengalami kecederaan di belakang kepala, tangan kanan dan kaki kanan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan:


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 2:06 PM