Fatimah Draof (tengah) menceritakan kesedihan berhubung kemalangan yang mengorbankan anaknya. Foto Rosli Ilham
Fatimah Draof (tengah) menceritakan kesedihan berhubung kemalangan yang mengorbankan anaknya. Foto Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: "Saya dah rasa pelik bila malam tadi saya tidak dapat tidur kerana teringatkan dia," kata Fatimah Draof selepas anaknya maut dalam kemalangan di Kilometer 11 Jalan Dungun - Bukit Besi, dekat Kampung Serdang, di sini, semalam.

Fatimah, 75, berkata, dia secara tiba-tiba teringatkan anak ke-10 daripada 11 beradik itu, sedangkan baru dua jam berbual panjang dengan anaknya itu.

Anaknya itu, Mohd Shahrul Hafif Abd Kadir, 37, maut selepas lori yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah lagi lori, kira-kira 3.30 petang.

Turut terkorban, kelindan lori terbabit, Mohd Shahrul Hafif, Ridzuan Mohamad, 43.

Katanya, arwah anak ke-10 daripada 11 beradik itu dan setiap hari akan bertemu dengannya kerana kedudukan rumah mereka berdekatan.

"Kali terakhir jumpa dia malam tadi, ketika dia bersama isteri dan tiga anaknya yang berusia dua, empat, dan enam tahun datang ke rumah.

"Kami berbual panjang dan dalam perbualan itu, dia menyatakan hasrat untuk mengadakan majlis tahlil arwah ayahnya yang meninggal sejak tahun 2012 yang sudah lama tidak dibuat," katanya.

Katanya, arwah anaknya itu juga bercadang untuk sembelih kesemua ayam peliharaannya untuk majlis tahlil itu.

"Selepas dia pulang, saya masuk ke bilik tidur dan lena seketika dan kira-kira 12.30 tengah malam, saya terjaga dan teringatkan dia.

"Saya kata dalam hati kenapa aku teringat pada dia (arwah) sedangkan kami baru berjumpa," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun, malam tadi.

Fatimah berkata, dia menerima berita anaknya itu mendapat kemalangan kira-kira 5 petang sebelum bergegas ke Hospital Dungun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 10:12 AM