MANGSA yang maut selepas tercampak keluar. FOTO Arifin Salleh
MANGSA yang maut selepas tercampak keluar. FOTO Arifin Salleh
Oleh Arifin Salleh

Jasin: Seorang pemandu lori maut manakala kelindan parah selepas lori dipandu terbabas lalu terbalik di Kilometer 180.5, Lebuhraya PLUS, arah selatan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 3.45 pagi, pemandu lori muatan 14 kabinet pejabat, Mat Zaki Husin, 41, maut apabila tercampak keluar dari kenderaan dipandu kira-kira 15 meter dari tempat kejadian.

Manakala kelindannya Mohd Syahmi Mohd Shuib, 20, tersangkut pada bahagian cermin hadapan lori yang pecah selepas lori dari arah Kuala Lumpur ke Johor Baru itu terbabas setibanya di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, mangsa mati di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala selepas tercampak melepasi besi penghadang kiri lebuh raya.

"Kelindan hanya cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tangkak sementara mayat dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 10:20 AM