PENYERTAAN wanita dalam pasaran pekerjaan dan juga tenaga buruh bakal diperhebat dengan pelbagai inisiatif oleh kerajaan.
PENYERTAAN wanita dalam pasaran pekerjaan dan juga tenaga buruh bakal diperhebat dengan pelbagai inisiatif oleh kerajaan.
Oleh Suliati Asri

Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2020-2025 (RMK-12), memberi penekanan ke arah memperkasa peranan wanita bagi membolehkan mereka bersama-sama menyumbang secara signifikan untuk pembangunan negara.

Bagi tujuan itu, dua inisiatif utama diperkenal menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) iaitu menggalakkan kesaksamaan gender dan memperkukuh undang-undang.

Inisiatif ini bertujuan supaya wanita dapat meningkatkan peluang mereka dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, ekonomi dan kepimpinan.

Antara sasaran utama adalah memastikan peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga buruh.

Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim Februari lalu melonjakkan pemerkasaan wanita melalui inisiatif seperti peruntukan Geran Penjagaan Kanak-Kanak kepada Wanita Kembali Bekerja, memudah cara garis panduan untuk pusat jagaan kanak-kanak dan penyediaan subsidi yuran taska serta pembinaan 80 taska dan tabika KEMAS termasuk 13 projek baharu.

Sehubungan itu, pelbagai usaha dan strategi dilaksanakan di pelbagai peringkat bagi memperkasa wanita.

Tahun ini juga, Jabatan Pembangunan Wanita akan melaksanakan program membabitkan pemerkasaan wanita yang merangkumi empat aspek iaitu Wanita dan Ekonomi, Wanita Selamat, Wanita Sejahtera serta Wanita dan Kepimpinan.

Wanita dan Ekonomi

Aspek Wanita Dan Ekonomi merangkumi Program Penjanaan Pendapatan bertujuan meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti ekonomi membabitkan elemen keusahawanan, literasi kewangan dan ekonomi digital.

Program ini bertujuan meningkatkan bilangan penyertaan wanita dalam pasaran tenaga buruh serta menjana pendapatan keluarga.
Sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 219 program dilaksanakan membabitkan seramai 8,853 peserta.

Program ini terdiri daripada dua elemen utama iaitu memberi bimbingan dan latihan tujuan memulakan perniagaan kendiri serta menghubungkan wanita yang mempunyai perniagaan secara kecil-kecilan ke platform e-dagang sedia ada bagi meluaskan capaian perkhidmatan perniagaan.

Dari segi kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita, ia menunjukkan peningkatan daripada 55.3 peratus pada 2020 kepada 55.5 peratus pada 2021 dan 55.9 peratus pada tahun 2022.

Terkini, sehingga April lalu, KPTB wanita menunjukkan peningkatan kepada 56.2 peratus.

Peningkatan ini hasil usaha kerajaan dan pelbagai pihak yang berkaitan, antaranya dengan pendekatan yang lebih mesra keluarga seperti menyediakan akses yang lebih baik kepada kemudahan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti, pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja, persekitaran kerja yang kondusif, waktu bekerja fleksibel, pilihan untuk bekerja dari rumah dan peluang mendapat semula pekerjaan yang setaraf.

Wanita Selamat

Aspek Wanita Selamat pula membabitkan program advokasi kepada wanita bagi menangani keganasan terhadap wanita.

Ia merangkumi Program Advokasi Antigangguan Seksual dan Program Advokasi Kesedaran Menangani dan Diskriminasi Terhadap Wanita.

Majlis Pelancaran Jerayawara Advokasi Antigangguan Seksual disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 29 Mei 2023 dan Jabatan Pembangunan Wanita dalam rangka jelajah ke seluruh negara bagi program ini.

Program ini susulan penggubalan Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] yang diwartakan pada 18 Oktober 2022.

Sehingga 31 Mei 2023, sebanyak 21 program di bawah Wanita Selamat sudah dilaksanakan yang membabitkan seramai 3,399 peserta.

Wanita Sejahtera

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut melaksanakan program untuk mempertingkatkan kesejahteraan wanita terutama dari segi kesihatan fizikal dan mental.

Oleh itu, Wanita Sejahtera ini membabitkan program kesejahteraan dan kesihatan wanita seperti Program Literasi Perundangan dan Hak Wanita (IRIS), Program Meningkatkan Daya Tahan & Psikologi Wanita (MATAHARI) dan Program Skuad WAJA.

Program Skuad WAJA adalah program sukarelawan di peringkat komuniti bertujuan memperkasakan komuniti melalui program bimbingan psikososial. Ia juga adalah aktiviti dalam komuniti khususnya wanita bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu jenayah.

Kini, Program Skuad Waja mempunyai seramai 328,558 ahli di seluruh negara membabitkan 253,973 wanita (77.3 peratus) dan 74,585 lelaki (22.7 peratus).

Sehingga 31 Mei 2023, sebanyak 308 program di bawah Wanita Sejahtera sudah dilaksanakan yang membabitkan seramai 46,173 peserta.

Wanita dan Kepimpinan

Pengiktirafan penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan mula dikuatkuasakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan diperkenalkan dalam sektor awam untuk memas- tikan penyertaan wanita di peringkat Pengurusan Tertinggi.

Seterusnya, menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), kerajaan turut menyatakan untuk meneruskan dasar yang menentukan pembabitan wanita di peringkat pengurusan dan pembuat keputusan pada kadar 30 peratus di sektor awam dan swasta.

Penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan boleh dirujuk kepada pencapaian di sektor awam dan sektor swasta.

Berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), peratus penjawat awam wanita di peringkat pembuat keputusan melalui pengisian Gred Utama C dan ke atas, meningkat kepada 38.8 peratus pada Disember 2022.

Bagi sektor swasta, peratus wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah di 100 syarikat tersenarai awam yang teratas adalah pada 30.6 peratus berdasarkan laporan daripada Suruhanjaya Sekuriti pada 1 Jun 2023 berbanding 29 peratus pada tahun 2022.

Sehubungan itu, aspek Wanita dan Kepimpinan ini merangkumi program inklusiviti yang membabitkan kolaborasi strategik dengan agensi berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Program itu seperti Program Pemerkasaan Kepimpinan, Program Advokasi Kesaksamaan Gender dan Program Sambutan Hari Wanita 2023.

Sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 58 program di bawah Wanita dan Kepimpinan sudah dilaksanakan dengan membabitkan seramai 11,309 peserta.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif-inisiatif di bawah Belanjawan 2023 sama ada yang disediakan untuk wanita atau lain-lain yang boleh dimanfaatkan rakyat, layari www.belanjawan.mof.gov.my/manfaat.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 9:15 AM