Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa memantau kegiatan dan memberi perhatian membabitkan salah laku terhadap kanak-kanak termasuklah ancaman pedofilia.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jenayah berkenaan sudah termaktub dalam Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840).

"Di pihak KPWKM, kita memang sudah ada undang-undang membabitkan isu sebegini yang mana ia di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

"Tetapi disebabkan permulaan kes sebegini daripada media sosial, jadi perlu dipatuhi dahulu undang-undang membabitkan perkara itu.

"Selepas itu kami sentiasa memantau kalau berlaku apa-apa, kami akan ambil tindakan. Kalau ia dibuktikan di bawah penderaan, gangguan seksual dan sebagainya, di situlah kami akan mengambil tindakan di bawah Akta Antigangguan Seksual," katanya ketika ditemui pada Program Advokasi Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, di sini, hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Harian Metro mengenai predator atau pemangsa pedofilia dikesan sanggup menunggu mangsanya yang berusia di bawah 13 tahun mencecah usia remaja sebelum mengumpannya untuk menjadi 'kekasih'.

Malah, si pelaku akan mengumpan dan 'membela' mangsa yang menjadi sasarannya dengan memujuk serta memberi hadiah untuk meyakinkan mangsanya.

Taktik yang dinamakan pengantunan seksual ini menjadi bertambah sukar dikesan dengan kebanjiran banyak aplikasi yang boleh diakses dengan mudah oleh kanak-kanak.

Nancy berkata, KPWKM mengambil tindakan sewajarnya dengan memberikan perlindungan jika terdapat laporan.

"Sudah tentu jika ada mangsa pedofilia dimaklumkan kepada kita, sesiapa saja yang terbabit ini, Insya-Allah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa ada. Sebab tugas kita memberikan perlindungan kepada kanak-kanak ini

"Kita tak mahu ia berleluasa sebab nanti menjadi satu perkara normal dalam kalangan kanak-kanak. Sudah tentu JKM akan terus melindungi kanak-kanak," katanya.

Dalam masa sama, katanya, KPWKM juga sentiasa memberikan kesedaran kepada orang ramai menerusi program yang dianjur dan diwujudkan.

"Sebenarnya apa yang kita lancarkan hari ini menerusi Advokasi Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak antara inisiatif yang dibuat pihak KPKWM. Tapi tidaklah ia secara menyerlah dan menunjukkan perkara itu.

"Cuma kita berharap program yang akan menyusul nanti akan ada diterangkan mengenai tindakan atau aksi yang tidak dibenarkan atau tidak digalakkan dalam kalangan kanak-kanak atau sesiapa saja untuk melakukannya kepada kanak-kanak.

"Dengan pihak orang dewasa kita buat program anti gangguan seksual. Advokasi ini di peringkat sekolah, tidaklah ia disebut anti gangguan seksual, tapi ia menjurus ke arah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 12:56 PM