Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah, ketika sesi soal jawab lisan pada Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-15, hari ini. FOTO IHSAN MEDKOM
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah, ketika sesi soal jawab lisan pada Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-15, hari ini. FOTO IHSAN MEDKOM
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kes jenayah membabitkan belia berusia bawah 40 tahun di negeri ini merekodkan peningkatan hampir sekali ganda pada tahun ini, berbanding tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah, berkata kes jenayah membabitkan golongan berkenan merekodkan sebanyak 2,402 kes sehingga Oktober lalu, berbanding hanya 1,970 kes, pada tahun lalu.

Untuk rekod katanya, jumlah belia di Johor adalah sebanyak 45.1 peratus daripada empat juta rakyat negeri ini membabitkan jumlah 1.681 juta manakala 68,692 lagi adalah belia Orang Kurang Upaya (OKU).

"Menurut statistik dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, kes jenayah membabitkan belia di negeri ini yang mencatatkan peningkatan adalah curi meningkat sebanyak 862 kes; jenayah seksual (692 kes); vandalisme (239 kes); samun (166 kes); samseng/kongsi gelap (10 kes); dan buli (lima kes).

"Jumlah tangkapan lumba haram turut meningkat kepada sebanyak 421 kes sehingga Oktober lalu, berbanding hanya 270 tahun lalu. Tangkapan kesalahan mabuk di kalangan belia turut meningkat kepada 492 kes berbanding hanya 470 dalam tempoh yang sama.

"Tangkapan kes jenayah dadah di kalangan belia di Johor turut meningkat kepada 9,942 kes (naik 17.21 peratus) berbanding tahun lalu.

"Jumlah tangkapan bagi semua kategori jenayah membabitkan belia di Johor turut menunjukkan peningkatan kepada 1,727 tangkapan sehingga Oktober lalu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab lisan pada Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-15, di sini, hari ini.

Terdahulu, Marina Ibrahim (DAP-Skudai) ingin tahu mengenai pembabitan belia Johor dalam kes jenayah yang semakin membimbangkan, selain langkah yang diambil kerajaan negeri bagi menangani isu berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, Kerajaan Johor mengambil maklum mengenai trend peningkatan kes jenayah di kalangan belia negeri ini dan memandang serius isu berkenaan.

Katanya, Jabatan Belia dan Sukan Johor telah melaksanakan 10 program Intervensi Sosial dari Belia Untuk Belia (Y2Y) bagi tahun ini.

"Program ini menumpukan kepada advokasi, kempen, pendidikan dan latihan yang memfokus kepada usaha untuk mengurangkan pembabitan belia dalam isu serta permasalahan sosial.

"Program ini mensasarkan belia bersekolah, belia pengajian tinggi dan belia massa ini telah dilaksanakan di semua 10 daerah dengan jumlah penyertaan seramai 1,129 orang peserta.

"Selain itu, Kem Belia Sejahtera juga sudah dilaksanakan termasuk 71 program Rakan Muda membabitkan 30,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 11:41 AM