Pelakon, Beto Kusyairy pada malam Bersamamu Rafah 2024 di Glam Damansara. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Pelakon, Beto Kusyairy pada malam Bersamamu Rafah 2024 di Glam Damansara. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Ramlah Zainal


Petaling Jaya: "Kita jangan cepat jatuh hukum bukan kerja kita nak jatuh hukum pada mereka kerana lisan kena jaga," kata pelakon terkenal, Beto Kusyairy, ketika diminta mengulas tindakan segelintir netizen (warga maya) yang menyokong gerakan Blockout 2024 meninggalkan komen berbaur negatif di laman sosial selebriti.

Kata Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan Osman, 44, bila terjadi begitu, akibatnya sesama kita berpecah belah dan porak peranda sedangkan islam itu bentuk penyatuan.

"Semua benda kini di hujung jari dan masing-masing bebas untuk menulis apa saja di media sosial.

"Kalau tak boleh nak berkata baik, lebih baik diam. Kita doakan mungkin mereka (selebriti diboikot) akan berubah pendirian.

"Kita tidak tahu mungkin dalam diam, mereka ada beri sokongan dan sumbangan pada saudara seagama kita di Palestin," katanya ketika ditemui Harian Metro pada Malam Bersamamu Rafah yang berlangsung di Damansara, di sini, malam tadi.

Ditanya adakah wajar selebriti menunjukkan bukti sokongan dilakukan pada rakyat Palestin, kata Beto, ia usaha yang baik dan digalakkan.

"Yang penting mereka beritahu tetap bersama rakyat Palestin.

"Dalam apa bentuk cara pun kita hormat dan menjaga lisan kita serta jangan sampai berpecah belah," katanya.

Mengenai isu gerakan Blockout 2024 yang membabitkan ramai selebriti popular tempatan pula, Beto berkata, adalah tidak adil untuknya keluarkan kenyataan kerana ada antara mereka (selebriti) yang diboikot rakan-rakannya dalam industri seni.

Kata Beto, dia juga memahami ada selebriti yang diboikot itu terikat dengan kontrak bersama jenama antarabangsa terbabit dan tindakan undang-undang boleh dikenakan jika mereka melanggar kontrak yang sudah dipersetujui.

"Saya faham dari sudut mereka (selebriti) yang terikat dengan kontrak dan kadang-kadang bila langgar kontrak, mereka akan disaman.

"Saya juga percaya memang betul rezeki itu bukan pada pihak 'brand' (jenama) atau sesuatu rezeki sentiasa datang dari Tuhan.

"Tak semudah itu kerana banyak benda yang harus difikirkan dari sudut keluarga dan nak kena turun naik 'court' (mahkamah) kalau langgar kontrak," katanya.

Kata Beto lagi, kita juga tidak tahu mungkin selebriti yang diboikot itu memberi sokongan dan sumbangan kepada rakyat Palestin di balik tabir (tanpa didedahkan).

"Jika sesetengah pihak itu menyokong apa yang Israel buat seperti selebriti di Hollywood yang terang-terangan menyokong Israel, itu selayaknya diboikot.

"Saya juga tidak boleh nak cakap apa bagi pihak artis dan pempengaruh tempatan yang diboikot dalam gerakan Blockout kerana itu kena tanya pada mereka sendiri.

"Saya tak nak kata setuju mereka diboikot sebab saya tahu masing-masing ada sebab yang kita tak tahu dan tidak adil untuk saya beri kenyataan," katanya.

Terdahulu, Gerakan Blockout 2024 dimulakan pada 6 Mei serentak dengan penganjuran majlis Met Gala 2024 sekali gus hari yang sama di mana bumi Palestin diserang Israel.

Gerakan itu menamakan senarai selebriti yang didakwa menyokong produk jenama pro-Israel dan tidak bersuara mengenai situasi yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 3:29 PM