MIMI akui dah lama sedar mengenai gerakan Blockout 2024.
MIMI akui dah lama sedar mengenai gerakan Blockout 2024.
Zaara Talita


Gerakan Blockout 2024 yang tercetus baru-baru ini berjaya menguasai media sosial. Malah, ramai netizen di negara ini begitu tertarik menyemarakkan gerakan ini dengan pelbagai komen ditulis mereka.

Kempen yang berasal dari luar negara itu difahamkan adalah salah satu cara menunjukkan sokongan terhadap pergolakan di Palestin dengan cara memboikot selebriti atau pempengaruh yang tidak menggunakan medium media sosial mereka sebagai ruang untuk bersuara berhubung kekejaman Israel.

Sehubungan itu, pelakon Mimi Lana juga menyuarakan pandangannya berkenaan gerakan Blockout 2024 itu terutama bagi jenama yang dapat memberi impak kepada Israel.

"Benda ini (Blockout 2024) dah berlaku lama dan saya menyedari mengenainya. Malah, saya rasa ramai rakyat Malaysia pun menyedari isu ini. Kita semua juga memang berpihak kepada Palestin.

"Saya sokong 100 peratus. Kalau benda ini dapat membantu dan memberi tekanan kepada jenama yang terang-terangan beri sokongan kepada Israel," katanya.

Gerakan Blockout bermula di pertunjukan fesyen tahunan, Met Gala 2024 yang berlangsung di New York pada 6 Mei lalu bagi menunjukkan bantahan terhadap selebriti yang tidak bersuara mengenai penindasan Zionis terhadap Palestin.

Gerakan berkenaan turut disambut baik oleh netizen Malaysia yang juga menyenaraikan beberapa nama selebriti tempatan yang dipercayai melakukan kerjasama dengan jenama pro-Israel.

Bagaimanapun, pelakon drama Astro Originals, Framed ini berharap seluruh rakyat Malaysia bersatu untuk bersama-sama membantu menyuarakan mengenai kekejaman rejim Zionis terhadap Palestin itu.

MIMI pertaruhkan lakonannya dalam filem The Experts pula di pawagam.
MIMI pertaruhkan lakonannya dalam filem The Experts pula di pawagam.

"Tapi, kita jangan buat isu ini sampai boleh berpecah belah sesama kita. Kena tahu misi kita apa, kenapa kita buat benda ini dan sangat penting kita kena bersatu untuk sama-sama untuk tolong mereka (rakyat Palestin).

"Dalam hal ini, kita juga tahu mereka memerlukan suara kita. Jadi, bersatu dan sama-sama kita melakukan gerakan ke arah yang betul," katanya ketika malam gala filem The Experts di Sunway Velocity Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selepas filem Sheriff yang masih ditayangkan mendapat sambutan penonton tempatan yang luar biasa, Astro Shaw bakal tampil dengan satu lagi karya filem terbaik menerusi naskhah The Experts.

Filem aksi The Experts terbitan oleh pengeluar filem 'pecah panggung' Astro Shaw ini bekerjasama dengan ZAK Capital dan TGV Pictures akan menemui penonton mulai 23 Mei ini di pawagam seluruh negara.

Karya sentuhan daripada pengarah Polis Evo 2 iaitu Andre Chiew bersama Nazim Shah yang juga pengarah filem J2: J Retribusi ini memperlihatkan gandingan pertama kali pelakon berpengalaman seperti Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Remy Ishak dan Ray Dapdap sebagai lima beradik yang membuat perancangan terbesar untuk merompak.

Kisah penceritaan dalam The Experts ini bermula selepas sedekad lima adik-beradik itu meninggalkan kegiatan merompak dan kemudian kembali berkumpul kerana menerima satu ugutan.

Mereka mendapat arahan daripada ketua gangster terkenal untuk melakukan satu lagi rompakan terbesar yang berisiko tinggi. Dalam pada itu, lima beradik ini juga masih dibayangi dendam lama disebabkan tragedi keluarga serta sejarah kejahatan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 6:12 AM