Kaka Azraff pada malam Bersamamu Rafah 2024 di Glam Damansara. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Kaka Azraff pada malam Bersamamu Rafah 2024 di Glam Damansara. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Ramlah Zainal


Petaling Jaya: "Kalau kita berpecah-belah macam mana nak tolong saudara kita di Palestin?

"Saya rasa kita sepatutnya boikot jenama bukan selebriti tempatan,"kata penyanyi Kaka Azraff ketika mengulas gerakan Blockout 2024 yang menjadi perbalahan di kalangan warganet.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 35, gerakan Blockout 2024 sepatutnya memboikot selebriti dan jenama antarabangsa yang secara terang-terangan pro Israel.

"Saya setuju kalau mereka boikot jenama dan selebriti antarangsa yang pro Israel kerana mereka secara terang-terangan membantu ekonomi pihak Israel.

"Tapi di sini ada yang menegur secara kasar dan berbalah sehingga lari dari motif sebenar sedangkan kita sepatutnya bersatu,"katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada majlis bacaan Yassin dan Malam Bersamamu Rafah 2024 di Damansara, di sini, baru-baru ini.

Mengenai gerakan Blockout 2024 lagi, kata Kaka, dia kini menggunakan produk jenama tempatan dan memboikot jenama pro Israel.

"Sejak saya lantang bersuara isu Palestin, tiada lagi pihak yang menghantar produk jenama berkaitan pada saya untuk dicuba dan sebagainya.

"Saya juga tak perlu lagi rasa bersalah jika tidak muat naik barangan jenama pro Israel yang diberikan itu,"katanya.

Bagaimanapun, kata Kaka, dia berdepan kesukaran kerana ada barangan yang digunakan anaknya jenama dari luar negara.

"Itu antara cabaran dihadapi bila berkaitan barangan yang digunakan anak kerana kebanyakannya dari jenama luar yang sudah biasa digunakan dari dulu.

"Apa yang penting, ia bermula dengan diri kita dulu dan perkara itu boleh dibuat secara berperingkat," katanya.

Terdahulu, gerakan Blockout 2024 diwujudkan untuk memboikot selebriti yang menjalinkan kerjasama dengan produk pro Israel.

Antara selebriti tempatan disenaraikan netizen ialah Nadhir Nasar, Mira Filzah, Awal Ashaari, Scha Al Yahya, Daiyan Trisha dan ramai lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 10:39 AM