WAN Maimunah berjaya bawa watak dengan berkesan.
WAN Maimunah berjaya bawa watak dengan berkesan.
Najiy Jefri

SEMPENA sambutan Aidiladha esok, syarikat penerbitan Dream At Work Sdn Bhd membawakan telefilem khas berjudul Ibu Pinjaman yang ditayangkan di saluran Astro RIA dan Astro Oasis.

Karya ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Wan Maimunah, Bell Ngasri, Hasnul Rahmat, Sherie Merlis, Amanda Misbun, Zalif Sidek dan Rahim Jailani.

Tidak ketinggalan pelakon kanak-kanak, Qisya Hairulzain dan dibantu Linda Soh, Shukri Tahir dan Afiq Aris.

Penerbit dan Pengarah Dream At Work Sdn Bhd, Datuk Razlan Ismail berkata, telefilem Ibu Pinjaman diinspirasikan daripada kisah benar Ustaz Abdullah Muda.

"Telefilem ini mengisahkan konflik jiwa dua insan bernama Rizal dan Mak Cik Rokiah. Rizal, seorang lelaki yang sudah lama dahagakan kasih sayang seorang ibu, sering berasa kesunyian dan kekosongan dalam hidupnya.

"Di satu sisi lain, Rokiah, seorang wanita tua yang hatinya hancur merindukan anak kandungnya. Dia menjalani hari-hari yang penuh kesepian.

"Kisah ini menyentuh hati apabila kedua-dua insan ini bertemu dan cuba mengisi kekosongan dalam hati masing-masing dengan kasih sayang yang terpendam," katanya.

Menurutnya, dia berasa teruja apabila telefilem yang akan bersiaran pada jam 10 malam itu ditayangkan pada Aidiladha.

Menariknya lagi, pelakon utama Ibu Pinjaman iaitu Wan Maimunah kini sedang mengerjakan ibadah haji, sekali gus telefilem ini turut membawa kesan dan keistimewaannya yang tersendiri.

"Ibu Pinjaman menjanjikan sebuah pengalaman emosi yang mendalam dengan kisah penuh kerinduan dan kasih sayang serta pengorbanan.

"Dibarisi pelakon yang hebat, cerita ini pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam di hati setiap penonton," katanya.

Telefilem yang mendapat sentuhan Razlan sebagai pengarah yang juga bertindak sebagai penerbit, bersama Irfan Hasan selaku Penerbit Eksekutif.

Dream At Work Sdn Bhd diberikan kepercayaan untuk menerbitkan telefilem ini bagi saluran Astro RIA di bawah naungan Penerbit Eksekutif Astro, Abdul Adzim Shahabudin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 6:20 AM