NOOR tampil dengan gaya istimewa buat peminat.
NOOR tampil dengan gaya istimewa buat peminat.
Ridzuan Abdul Rahman


Bukan mudah untuk membuat kemunculan semula. Itulah yang meniti di bibir penyanyi dan pelakon terkenal era 1970-an dan 1980-an, Noorkumalasari mengenai pembabitannya dalam telefilem Pintu No 9 terbitan Zeel Production Sdn Bhd.

Biarpun didatangi tawaran baru, Noor, 61, berkata, pembabitannya hanya bagi memenuhi permintaan penerbit Zeel Production, Md Fadzil Teh yang menghasilkan telefilem khas mengenai kisah percintaan kedua-dua orang tuanya, Alahyarham Datuk S Roomai Noor dan Datin Umi Kalthum.

“Sudah 20 tahun saya menyepi dan bersetuju untuk belakon semula dalam Pintu No 9 kerana ia penghargaan buat orang tua saya.

“Cukuplah, tiada drama lain lagi selepas ini,” katanya.

Noor mendedahkan ada tawaran lain menyusul, tetapi menolak kerana berpegang teguh dengan prinsip diri.

“Bagi saya telefilem ini penutup pembabitan saya dalam bidang ini dan bukannya pembuka tirai seperti yang dianggap segelintir pihak.

“Diharap kemunculan saya dapat mengubat kerinduan peminat,” katanya.

Sambung Noor, meskipun tidak lagi beraksi depan kamera, dia masih menyokong industri hiburan tanah air dan tidak menolak sekiranya dijemput sebagai tetamu program bual biacara serta apa sahaja acara yang bermanfaat untuk masyarakat.

Berkongsi pengalaman menjayakan Pintu No 9, Noor seronok kerana penggambaran turut dilakukan di Makkah dan berkesempatan melakukan umrah.

“Saya bawakan karakter emak, manakala Zulkifli Ismail sebagai ayah. Memandangkan ia kisah benar orang tua sendiri, mudah untuk saya hayati watak.

“Pelakon lain yang terbabit ialah Risteena dan Lidyawati, Aidit Noh dan ramai lagi. Walaupun terikat dengan penggambaran, saya sempat menziarah pusara arwah ayah di Jannatul Mualla, “ katanya yang berkampung selama 20 hari di Makkah.

Allahyarham S Roomai Noor meninggal dunia di Hospital Makkah, Arab Saudi sewaktu menunaikan ibadah umrah pada 16 Mac 1996.

Telefilem Pintu No 9 arahan Wan dijangka bersiaran di Astro pada Aidiladha nanti.

Perkembangan lain, Noor akan menjayakan program Suara Emas Radio Klasik terbitan dan kendalian juruhebah Yusmawati Yunos.

Program itu akan disiarkan setiap Sabtu jam 12.30 tengah hari pada 6, 13, 20 , 27 Mei dan berakhir 3 Jun.

“Saya berkongsi pengalaman ketika mula menceburi bidang ini sehinggalah berhijrah. Diharapkan peminat tidak ketinggalan mengikuti program ini apabila bersiaran nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 10:55 AM