Ebi Kornelis turut aktif dalam kerjaya muzik dan nyanyian
Ebi Kornelis turut aktif dalam kerjaya muzik dan nyanyian
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer, Ebi Kornelis, 38, sentiasa mensyukuri nikmat rezeki yang datang dalam hidup dan kerjaya seninya meskipun harus akur sering menjadi 'pilihan kedua'.

Ebi atau nama sebenarnya Ebi Kornelis Firdaus Yaimal yang kini menjadi pengarah telefilem Sekolah Sampah di Astro Citra ditemui, berkata dia okey saja sebagai 'pilihan kedua' kerana paling utama ikhlas dan jujur dalam bekerja.

"Perasaan saya biasa saja apabila penerbit telefilem Sekolah Sampah, Arie Zaharie Production menghubungi minta saya jadi 'pengarah kedua' untuk menggantikan tempat individu yang dipertanggungjawabkan sebelum itu.

"Saya terima amanah mengarahkan telefilem Sekolah Sampah kerana tertarik dengan jalan ceritanya yang menarik dan mengangkat kisah masyarakat. Ditambah, saya juga pernah melalui kehidupan yang susah dan hampir sama ketika masih kecil dulu.

"Sebenarnya, sebelum ditawarkan oleh penerbit untuk menggantikan pengarah terbabit, saya ada melihat beberapa rakan yang bekerja di belakang tabir membuat perkongsian mengenai skrip cerita ini di media sosial dan terdetik juga di hati, kenapa bukan saya pengarahnya.

"Ini kerana, saya teringin sangat nak mengarahkannya. Namun, rezeki Allah siapa yang tahu kerana tak sangka saya dihubungi penerbit yang meminta agar menggantikan pengarah asal di atas sebab-sebab tertentu," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Ebi ditemui pada sesi temubual virtual telefilem Sekolah Sampah berkata dalam realiti kehidupannya juga, dia sudah terbiasa menjadi 'orang kedua' sebelum segala urusan dapat dibuat dengan lancar dan dipermudahkan Allah.

"Saya sebenarnya selalu saja jadi 'orang kedua', tapi alhamdulillah segala urusan tetap berjalan lancar kerana saya suka bertindak jujur dan ikhlas. Bagi saya, Allah Maha Tahu dan semua rezeki di dunia ini datang daripada nikmat-Nya.

"Malah, lebih membuatkan saya jadi bersemangat apabila penulis skrip, Jo Sidek sendiri gembira dan bersyukur apabila saya sudi menerima tanggungjawab ini. Jo begitu yakin dengan kemampuan diri saya," katanya.

Telefilem Sekolah Sampah yang mengangkat kisah pendidikan di sebuah penempatan dikenali Kampung Sampah di Sandakan, Sabah membariskan pelakon seperti Aliff Aziz, Bella Astillah, Aidil Astillah, Pasqueletta Joan, Rubisa Tiasin dan ramai lagi.

Ebi yang hingga kini turut aktif dalam kerjaya muzik dan nyanyian juga adalah naib juara program realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5) pada 2007 yang tewas ditangan Mila Jirin selaku juara ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 4:40 PM