BARISAN selebriti dan artis yang hadir pada sidang media Tayangan Perdana Program Raya Astro 2023 Dan Berbuka Puasa. FOTO Genes Gulitah
BARISAN selebriti dan artis yang hadir pada sidang media Tayangan Perdana Program Raya Astro 2023 Dan Berbuka Puasa. FOTO Genes Gulitah
Ridzuan Abdul Rahman


MENGANGKAT tema 'Bukalah Hati', Astro menyambut ketibaan Syawal dengan sajian hiburan merangkumi variasi genre termasuk pelbagai telefilem, rancangan, komedi dan program kanak-kanak yang sesuai untuk tatapan seisi keluarga.

Misalnya iklan Raya, Pertemuan Dua Hati yang sarat dengan penceritaan penuh emosi antara seorang ibu tunggal dan anak angkatnya.

Berdasarkan kisah benar, ia mengangkat cerita Chee Hoi Lan atau Laoshi penerima Anugerah Ikon Ibu Sejati Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2022 yang bertungkus lumus membesarkan anak angkatnya, Rohana Abdullah berlainan bangsa dan agama.

Iklan yang mengambil masa penggambaran dua hari ini diarahkan oleh Dick Chua yang dikenali dengan naratif emosi menerusi karya-karyanya.

Naib Presiden Perniagaan Saluran Melayu Astro, Azlin Reza Azmi berkata, Syawal ini bakal membukakan hati semua dengan setulus ikhlasnya menerusi kebaikan Laoshi yang membesarkan Rohana Abdullah ketika masih bayi sehingga ke menara gading.

"Kisah yang penuh emosi ini membuktikan apabila kita membuka hati, apa jua jurang perbezaan pasti akan diatasi. Bukan itu sahaja, kasih sayang tidak mengenali bangsa, agama mahupun kedudukan.

"Semoga iklan kali ini mampu menyentuh hati sanubari semua yang menonton, jadikan ia aspirasi untuk kita korbankan diri untuk mereka tersayang tanpa mengharapkan apa jua balasan.

"Kami terharu diberi kepercayaan mengadaptasi kisah penuh inspirasi ini sebagai nadi iklan kami," katanya.

Program Raya Astro kali ini sarat rancangan hebat antaranya 10 telefilem khas Aidilfitri di saluran Astro Ria bermula malam raya hinggalah Syawal ke-9 nanti seperti Pondok Quran Buruk, Sumpahan Peti Ais, Heisdilfitri, Bro Jenin dan Pengantin Tangkap Muat.

"Juga disiarkan Raya Sebagai Isteri, Challenge Accepted, Biar Biasa Biasa, Langit Tak Mendengar dan Diari Cinta Aku. Menerusi saluran Astro Warna pula, Debunk 2 kembali menemui penonton pada malam raya nanti.

"Manakala genre variasi, komedi serta kanak-kanak bakal memaparkan Holla Dolla, Siapa No. Syatu? Lina Vs Rina, Gegar Vaganza Ra

ya, Gempak Most Wanted Raya, Celebrity Family Feud, Bombastika Raya, MeleTop Raya, Raya Lawak Warna, Spontan Balik Raya, Royal Gerambel, Famili Yang Popular dan banyak lagi," kata Azlin Reza.

Tidak ketinggalan Polis Evo 3 dan MALBATT Misi: Bakara bakal menemui peminat filem di pawagam kelak. Platform digital dan radio turut menyajikan pelbagai jenis hiburan hebat tiada henti sepanjang Syawal ini.

Telefilem Quran Pondok Buruk yang juga kesinambungan telefilem lgenda Pondok Buruk 1 dan 2, Quran Pondok Buruk pasti menarik perhatian penonton.

Ia membawa kisah obsesi tiga adik-beradik yang derhaka, terdesak mahukan keampunan daripada ibu mereka yang sudah meninggal dunia.

Telefilem ini dibintangi Datuk Rosyam Nor, Fauziah Nawi, Raja Azura, Vanidah Imran dan Dato' Jalaluddin Hassan.

Heist-Dilfitri arahan sulung Zizan Razak pula mengisahkan tiga sahabat iaitu Ibrahim, Musa dan Anis lakonan Zizan Razak,?Issey dan Shiqin Kamal.

Mereka perompak profesional yang tidak pernah merasai kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga.

Musa mendapat idea merompak rumah pasangan hartawan lakonan Khir Rahman dan Maria Farida dan memaksanyamenyambut raya seperti sebuah keluarga bersama mereka.

Program Celebrity Family Feud Malaysia pula disiarkan sembilan hari berturut-turut dari 1 Syawal pertama hingga 9 Syawal membariskan gabungan selebriti dari program terbitan Astro dan hasil kemenangan bakal disalurkan ke badan badan kebajikan terpilih.

Malam Raya bakal disemarakkan dengan program istimewa konsert jalanan Bombastika Raya dengan penampilan istimewa selebriti popular seperti Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Aina Abdul dan ramai lagi bersama hos Sherry Alhadad dan Jihan Muse.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 6:14 AM