Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Band yang memperjuangkan muzik blues, Blues Gang bakal mengadakan konsert berskala besar sempena ulang tahun ke-50, Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato.

Pengarah Urusan AV Group, Zool Azri Abu Bakar selaku penganjur tidak gusar walaupun konsert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 9 Ogos itu bertindih dengan satu lagi acara konsert rock.

"Dari sudut tarikh konsert yang bertembung dengan acara konsert lain, genre blues ini berbeza. Jadi, saya percaya, tarikh tak menjadi masalah sebab Blues Gang ada peminat mereka sendiri," katanya.

Tambahnya konsert berkenaan juga akan diadakan dengan konsep tempat duduk tanpa zon berdiri berbeza seperti mana kebiasaan persembahan.

"Kita dapat melihat kebanyakan usia peminat mereka adalah dalam kalangan 50 tahun ke atas. Jadi, lebih santai sekiranya mereka 'layan' konsert ini sambil duduk dan lebih selesa untuk menikmati muzik blues ini," katanya.

Blues Gang
Blues Gang

Sementara itu, vokalis Blues Gang, Ito Mohd berkata, dia dan anggota Blues Gang yang lain mendedikasikan konsert ini buat tiga sahabat mereka yang sudah meninggal dunia.

"Konsert ini adalah untuk mereka. Namun, tempat mereka akan digantikan oleh pemuzik-pemuzik lain iaitu Munir Mega (dram), Shah Shariff (bass) dan anak bongsu saya, Kid Afero (gitar)," katanya.

Kumpulan Blues Gang. FOTO Hazreen Mohamad
Kumpulan Blues Gang. FOTO Hazreen Mohamad

Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato bakal menyaksikan Blues Gang mempersembahkan lagu-lagu popular mereka di samping satu sesi jamming bersama beberapa artis jemputan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 6:34 PM