Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Agensi penguatkuasa perlu menitikberatkan aspek pencegahan jenayah menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dilihat semakin kompleks.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia penting berikutan perkembangan pesat teknologi AI dalam tempoh yang singkat.

Menurutnya, kerjasama utuh antara semua pihak termasuk agensi pihak berkuasa, badan kerajaan, ahli akademik dan entiti swasta amat penting bagi mendepani penyalahgunaan teknologi berkenaan.

"Seiring dengan evolusi dunia digital peningkatan jenayah siber yang dipacu oleh kemajuan teknologi AI termasuk peningkatan maklumat salah dan tidak tepat memerlukan perhatian segera dan berterusan.

"Jenayah siber merupakan merupakan konflik yang jelas sangat bahaya dan mampu memberi kesan di setiap pelusuk dunia bermula dari kecurian identiti dan penipuan kewangan kepada serangan perisian tebusan (ransomware) yang sofistikated serta penggodaman.

"Jenayah siber membawa ancaman yang nyata kepada orang ramai, sebagai pegawai penguatkuasaan kita perlu bangkit mengatasi cabaran ini dengan cekal dan waspada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Ketua-Ketua Polis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCOPS) 2024 di New York, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Ramli berkata, pihak Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) perlu memainkan peranan bagi meningkatkan latihan kemahiran buat pegawai penguatkuasa di setiap negara ahli menerusi semua pusat kecemerlangan miliknya.

Katanya, UN perlu mengorak langkah ke hadapan dalam mendepani penyalahgunaan teknologi AI dan mereka perlu memastikan sumber yang mencukupi dalam mendepani masalah berkenaan.

"Ini termasuk program latihan bagi pegawai-pegawai agensi penguatkuasaan bagi meningkatkan kemahiran masing-masing.

"UN harus menjadi pencetus kepada usaha mencipta sebuah kerangka kerja bagi memastikan teknologi AI digunakan secara beretika dan bertanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 10:56 AM