Celine Dion
Celine Dion
Agensi

Los Angeles: Penyanyi Celine Dion, 58, meminta pengarah dokumentarinya I Am: Celine Dion iaitu Irene Taylor untuk tidak memotong babak dia berdepan kekejangan otot teruk sewaktu penggambarannya.

Dalam satu temubual, Taylor mengakui dia sebenarnya agak dilema untuk memaparkan babak penuh derita itu. Namun, dia menghormati permintaan penyanyi legenda terbabit.

"Perkara pertama yang dia cakap adalah dia rasa filem itu boleh membantu dirinya. Kemudian, dia meminta saya agar tidak memotong babak berkenaan," katanya.

Insiden itu memang mengejutkan Taylor juga kerana di luar jangkaan. Dia dan keseluruhan produksi bahkan tidak terfikir pun situasi itu akan dapat dirakam berlaku betul-berul ketika penggambaran.

"Statistiknya, kebarangkalian ia akan berlaku ketika kamera sedang diputar adalah sangat jarang. Tiada siapa yang jangka ia akan terjadi. Kami tiada pun berbincang apa nak buat kalau memang jadi.

"Kami berandaian ia memang tidak berlaku. Serangan itu bahkan sangat pantas bertambah. Jiwa kemanusiaan dalam diri saya terasa sangat tidak keruan.

"Tapi saya percaya pada kuasa bukan fiksyen dan menyalurkan ke imaginasi manusia dengan paparkan realiti. Bukannya ikut skrip saja," katanya.

Terdahulu, Celine berkongsi khabar duka dirinya menghidap sindrom terpencil pada 2022. Ia memberi kesan kepada sistem saraf khususnya pada bahagian otak dan saraf tunjang

Dia turut berdepan serangan kekejangan otot yang teruk.

Tahun lalu, dia mengumumkan terpaksa batalkan Siri Jelajah Courage susulan keadaan kesihatannya yang menjejaskan keupayaan untuk membuat persembahan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 10:58 AM