PERSEMBAHAN Mawi dengan penampilan kumpulan Aeydan di pentas. - Hazreen Mohamad
PERSEMBAHAN Mawi dengan penampilan kumpulan Aeydan di pentas. - Hazreen Mohamad
Ramlah Zainal


Konsert Simfoni Kesyukuran 2.0 yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini berjaya menarik lebih 1,000 penonton terutama penggemar irama nasyid tanah air.

Meskipun bertindih dengan konsert penyanyi terkenal Indonesia, Afgan, konsert terbabit tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.

Malah, sepanjang konsert lebih satu jam setengah itu, penonton dihiburkan dengan rangkaian lagu nasyid dan irama ketuhanan untuk mengisi jiwa dan rohani.

Konsert diterajui kumpulan nasyid Rabbani ini turut disemarakkan lagi dengan penampilan barisan artis terkenal seperti Mawi, Zizi Kirana, Adeep Nahar dan kumpulan pelapis, Aeydan.

Menurut Mawi atau nama sebenar, Asmawi Ani ia kali kedua dia menjayakan konsert terbabit bersama kumpulan nasyid popular itu selepas Konsert Simfoni Kesyukuran 1.0 berlangsung di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor pada Disember tahun lalu.

"Alhamdulillah saya juga tidak mahu lepaskan peluang untuk menjayakan konsert simfoni kesyukuran buat kali kedua ini.

"Saya juga bersyukur kerana konsert kali kedua juga mendapat sambutan dari peminat nasyid kerana irama nasyid dan ketuhanan juga mempunyai pengikutnya tersendiri," katanya selepas konsert berakhir.

Mawi mendendangkan dua lagu iaitu Al Jannah dan lagu duet Hambamu dengan penampilan kumpulan Aeydan.

Kumpulan Aeydan yang dianggotai enam anggota dan dianggap pelapis kepada kumpulan Rabbani juga mendendangkan single pertama mereka pada malam itu berjudul Bintang.

Buat julung kalinya, Rabbani yang berjanji menampilkan persembahan berbeza menerusi nyanyian rap duet bersama Zizi.

PERSEMBAHAN rap Rabbani dan Zizi curi tumpuan. - Hazreen Mohamad
PERSEMBAHAN rap Rabbani dan Zizi curi tumpuan. - Hazreen Mohamad

Rabbani mendendangkan lima lagu popular termasuk dua lagu yang pernah dipopularkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Alhamdulillah Syukur Nikmat dan Berkorban Apa Sahaja.

Selain itu, lagu Doa dan Pujian, Handzalah dan Intifada.

Disamping berkongsi pentas ketika menyampaikan lagu versi rap Perang Dah Tamat bersama Zizi.

"Benarkah perang sudah tamat sedangkan rakyat Palestin terus diuji?" kata Zizi kepada penonton.

Lagu duet Zizi dan Rabbani itu juga menunjukkan solidariti mereka kepada rakyat Palestin yang menderita kerana kekejaman rejim zionis.

Walaupun sudah berhijab, aura Zizi tidak pudar ketika mendendangkan lagu yang dipopularkan kumpulan Too Phat iaitu Alhamdulillah secara solo dan versi rap.

ADEEP menghiburkan penonton menerusi dua lagu. - Hazreen Mohamad
ADEEP menghiburkan penonton menerusi dua lagu. - Hazreen Mohamad

Selain itu, penyanyi Adeep Nahar pula menghiburkan penonton menerusi dua lagu berjudul Izinkan dan Kalimah Cinta Teragung.

Menurut Adeep, dia menghasilkan lagu Izinkan itu sebagai peringatan kepada dirinya sendiri.

Manakala lagu Kalimah Cinta Teragung dedikasi khas buat rakyat Palestin.

Tidak lengkap konsert tanpa barisan pemuzik yang mengiringi persembahan artis pada malam itu dari Orkes Melayu Yayasan Warisan Johor.

Konsert anjuran Intermedia Production Sdn.Bhd dengan kerjasama Rabbani Empire Resources ini mendapat sokongan dari Tourism Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 6:44 AM