KONSERT Blues Gang Apo Nak Dikato cerminan perjalanan 50 tahun band yang sinonim dengan karya kritis serta berjiwa rakyat.
KONSERT Blues Gang Apo Nak Dikato cerminan perjalanan 50 tahun band yang sinonim dengan karya kritis serta berjiwa rakyat.
HM Digital

Apabila disebut blues dalam industri muzik tanah air, nama yang akan disebut ialah Blues Gang. Pasti tidak ada nama lain.

Ada band yang turut bermain muzik blues terutama di kelab pada era 70-an dan awal 80-an, tetapi orang tetap merujuk Blues Gang.

Mereka satu-satunya band blues yang mengecap populariti mega di tanah air terutama menerusi lagu Apo Nak Dikato pada 1982.

Selepas 50 tahun, Blues Gang akhirnya tampil dengan konsert solo mereka iaitu Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato yang berlangsung pada 9 Ogos depan di Zepp Kuala Lumpur.

Selepas ditubuhkan pada 1973 dan memiliki 14 album studio, sememangnya ini adalah sesuatu yang istimewa dan 'rare' buat band yang sinonim dengan genre blues dan rock.

Blues Gang yang juga dikenali dengan karya kritis dan berjiwa rakyat bakal melakar detik bersejarah pada konsert anjuran AV Group nanti.

Penyanyinya, Ito Mohd berkata, konsert ini adalah cerminan perjalanan lima dekad Blues Gang dan ia dinamakan sempena judul lagu malar segar mereka, Apo Nak Dikato yang dipasarkan lebih 40 tahun lalu.

"Secara solo, di pentas sebesar ini, Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato adalah yang pertama selepas 50 tahun. Kali terakhir kami muncul dalam konsert berskala besar ialah di Konsert 2 Raksaksa Reunion pada 2011 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, tetapi bersama Sweet Charity.

"Ini bukan saja eksklusif Blues Gang, malah boleh dianggap 'rare' selepas 14 album kami. Saya sendiri, secara solo pun memiliki 20 album. Justeru, ini cara terbaik untuk meraikan kembara lima dekad Blues Gang, terutama oleh peminat dan penggemar blues.

"Kenapa Blues Gang Apo Nak Dikato sebagai judul konsert istimewa ini? Ini tidak lain sebagai 'tribute' karya dalam loghat Negeri Sembilan 'paling power' kami sepanjang 40 tahun ini," katanya.

Selain Ito, turut meneruskan perjuangan Blues Gang ialah pemain gitar, Julian Mokhtar dan Ghani Abu Talib (keyboard, gitar kedua). Dua lagi anggota asal Blues Gang iaitu Jim Madasamy (bass, penyanyi) meninggal dunia pada 2018. Ini diikuti Shaik Karim (dram, penyanyi), Julai tahun lalu.

Dalam konsert ini nanti, kekosongan itu diisi Kit Afero (gitar), Munir Shamsudin (dram) dan Shaharudin Sharif (bass).

Menurut Ito, konsert itu juga bagi memperbetulkan dakwaan bahawa Blues Gang kini hanya tinggal nama.

ITO nafi Blues Gang kini hanya tinggal nama.
ITO nafi Blues Gang kini hanya tinggal nama.

BLUES Gang dibantu tiga pemuzik lain bakal cetus sejarah dengan mengadakan konsert solo pertama selepas 50 tahun.
BLUES Gang dibantu tiga pemuzik lain bakal cetus sejarah dengan mengadakan konsert solo pertama selepas 50 tahun.

"Blues Gang tidak pernah dibubarkan walaupun kehilangan beberapa ahli yang meninggalkan kesan mendalam buat kami. Konsert ini juga bagi menghidupkan kembali kenangan bersama, selain bertepatan dengan kelahiran single, Bincang Adik Beradik yang akan dilancarkan nanti," katanya.

Juga dikenali dengan lagu seperti Khatulistiwa, Oh! Mama Saya Mahu Kahwin, Cinta Oh Cinta dan Mak Siti, Blues Gang yang hadir dengan album sulung berbahasa Inggeris, Anytime Anyday pada 1979 bakal memainkan semua lagu popular mereka dalam konsert berdurasi hampir dua jam itu.

Sementara itu, pemilik AV Group dan penganjur, Zool Azri berkata, sesuai cerminan perjuangan Blues Gang yang hingga hari ini terus dikagumi kerana keutuhan identiti yang dibawa selama 50 tahun ini, satu segmen khas Melayu diselitkan pada malam berkenaan.

"Selain puluhan hit Blues Gang seawal 70-an, segmen khas Melayu pula menyaksikan bagaimana alunan blues dan rock menyatu dengan dikir barat yang akan menampilkan Issey Gegar FM & Mat Ropi & Friends, pemuda berbangsa Cina, Adik Axiang yang meniup serunai Melayu serta Julie Razak atau Juliey Ratu Gendang bermain gendang.

"Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato adalah sebagai penghormatan kepada Blues Gang yang masih utuh dengan perjuangan, memikat penggemar daripada pelbagai bangsa dan lapisan masyarakat tanpa mengira umur," katanya.

Zool berkata, peluang bekerjasama dengan band legenda ini ibarat pucuk dicita ulam mendatang selepas sekian lama menyimpan kekaguman terhadap seniman seperti mereka.

"Ini pertama kali Blues Gang muncul solo pada skala sebegini, di pentas berprestij seperti Zepp Kuala Lumpur. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk melakar momen indah bersama Blues Gang pada konsert Blues Gang Apo Nak Dikato," katanya.

Selain persembahan istimewa, pelbagai hadiah serta cenderahati eksklusif akan dihadiahkan kepada penonton bertuah pada konsert itu.

Peminat juga boleh mendapatkan tiket konsert ini menggunakan aplikasi ATOME di ilasso tickets yang memberi pilihan bayaran ansuran kepada pembeli.

Maklumat mengenai tiket, sila layari http://ilassotickets.com

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 6:00 AM