Syafil Syazwan Jefri


Lantunan vokal mantap serta kemampuan untuk menyentuh nada tinggi dalam nyanyiannya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Itu penyanyi dari Indonesia, Judika yang hadir ke Malaysia, menggegarkan pentas Konsert Rockmantic Night Judika and the Gang, baru-baru ini.

Kehebatan suaranya melantunkan lebih 20 lagu memukau 12,000 peminat dari seluruh pelosok negara termasuk Singapura dan Indonesia yang hadir memenuhi ruang dalam Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil.

Berkesempatan diwawancara usai konsert pada malam itu, Judika yang ditemani isteri, Duma Riris berkongsi rasa bahagia dan bangganya atas kelancaran konsert pada malam itu.

"Saya rasa sangat gembira dan berbangga dengan konsert pada malam ini. Awalnya saya sangat gementar memandangkan kali terakhir saya tampil mengadakan konsert di sini adalah pada empat tahun lalu.

"Namun, pada ketika itu, skalanya tidak sebesar konsert kali ini yang mana berjaya mengumpulkan lebih 10,000 penonton.

"Saat melangkah masuk dalam stadium, saya rasa tak sabar untuk membuat persembahan. Sekali lagi saya katakan, saya rasa sangat berbangga," katanya.

Tidak hanya mempersembahkan lagu popularnya seperti Bukan Rayuan Gombal, Aku Yang Tersakiti, Setengah Mati Merindu dan banyak lagi, Judika turut menghiburkan penonton dengan seleksi lagu popular dari Malaysia.

"Kalau diikutkan hati, saya nak teruskan lagi membuat persembahan. Namun, senarai lagi dah selesai. Lagi pula, saya diiringi orkestra dan mereka sudah membuat persediaan dan latihan untuk lagu yang disenaraikan.

"Banyak lagu kegemaran saya dari Malaysia antaranya Isabella, Gerimis Mengundang dan banyak lagi. Namun, kali ini, saya tampilkan lagi yang belum pernah saya persembahkan sebelum ini di Malaysia.

JUDIKA bersama isteri, Duma bersama anak mereka.
JUDIKA bersama isteri, Duma bersama anak mereka.

"Setiap lagu Malaysia yang saya bawakan ada kenangan dan cabaran tersendiri. Kalau Sejati, saya pernah nyanyikan, manakala Buih Jadi Permadani pula, memang sangat popular di Indonesia. Paling mencabar adalah lagu Cindai nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mana saya rasa sangat berat untuk dibawakan kerana liriknya yang banyak.

"Dengan artis Malaysia, saya sempat berlatih kira-kira dua kali. Masanya cukup memandangkan jadual latihan disusun dengan teratur supaya kami berlatih semaksimum mungkin," katanya.

Lebih manis, Konsert Rockmantic Night Judika and the Gang turut dihadiri ibu bapanya serta ibu bapa mentuanya.

"Sebelum ini, isteri dan anak-anak hadir setiap kali saya berpanggung di mana-mana acara konsert. Namun, kali ini lebih istimewa kerana konsert kali ini dihadiri kedua-dua ibu bapa saya dan ibu bapa mentua.

"Kali ini saya rasa lebih lengkap terutama kerana ibu bapa saya buat pertama kali menyaksikan konsert saya di Malaysia dengan jumlah penonton yang padat dalam stadium.

"Kebahagiaan itu tak dapat saya gambarkan dan tak dapat dibayar dengan apa pun. Mereka sendiri terbuka hati untuk hadir dan mendoakan kelancaran perjalanan konsert kali ini.

"Berkat doa mereka juga saya dapat menyampaikan 24 lagu dengan lancar. Mereka pun faham, sepanjang dua hari terakhir ini, jadual saya sangat padat dengan latihan dan raptai penuh," katanya.

Tidak hanya itu, kehadiran penonton yang sangat bertenaga juga turut menyalurkan semangat buat Judika saat berada di pentas.

"Bercakap mengenai tenaga, yang jelas saya dapat dari penonton dan anda semua yang datang menonton. Sejak Julai lagi, saya sudah ke sini untuk mempromosikan acara konsert ini. Konsert ini pun dianjurkan kerana rasa rindu saya untuk tampil membuat persembahan di sini.

JUDIKA tampil di pentas Konsert Rockmantic Night Judika and the Gang.
JUDIKA tampil di pentas Konsert Rockmantic Night Judika and the Gang.

"Sebelum ini ramai juga peminat dari Malaysia mengirimkan mesej kepada saya dan bertanya bila saya akan datang ke Malaysia. Tapi, kalau tak ada acara konsert, tak ada benda menarik juga untuk saya berikan kepada mereka.

"Jadi, saya hadir dengan konsert dan sajikan persembahan terbaik buat mereka. Saya harap persembahan saya puaskan peminat yang hadir," katanya.

Antara persembahan menarik di Konsert Rockmantic Judika and the Gang adalah ketika persembahan lagu Mama Papa Larang.

"Mama Papa Larang adalah lagu 'curhat' (curahan hati) saya mengenai kisah cinta saya dan isteri, Duma apabila kami terpaksa menunggu enam tahun sebelum direstui dan dapat mengikat tali perkahwinan.

"Bagi saya dalam situasi itu, yang paling kuat adalah Duma kerana dia yang berdepan halangan ibu bapanya setiap hari. Yang jelas, kekuatannya adalah cinta. Saya adalah jenis manusia yang bersifat pejuang. Jadi, saya dan Duma terus berjuang demi cinta kami.

"Kami berdua berketurunan Batak. Jadi, kami sedia maklum bahawa ibu bapa sayang dan inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jadi, kami sedaya upaya membuktikan cinta kami. Akhirnya hati mereka yang keras dapat diluluhkan dan kami dapat berumah tangga," katanya.

Tidak sekadar mengubat rindu peminat, Judika turut memperkenalkan barisan penyanyi baharu di bawah label Dua Anak Deo Entertainment (DAD) iaitu Daniel Pattinama, Axin Zay dan Dnanda Anugerah.

"Satu lagi kebanggaan buat saya adalah kerana ini menjadi penanda aras untuk kami di label DAD dalam mengadakan acara konsert berskala besar. Kami bawa artis baharu di bawah pengurusan kami juga untuk diperkenalkan kepada peminat Malaysia.

"Paling saya utamakan dan titikberatkan adalah sistem bunyi. Bagi saya sistem bunyi adalah alat untuk saya sampaikan persembahan saya. Kalau sistem bunyi tak bagus, ia akan mengganggu.

"Saya kena tahu dan faham mengenai gema dalam stadium juga memandangkan ia memberi kesan kepada nyanyian saya. Selain itu, perkara lain termasuk LED serta gabungan orkestra dari Indonesia dan Malaysia," katanya.

Yang pasti, konsert kali ini membawa pelbagai emosi buat setiap mata dan telinga yang berada di stadium tertutup itu, sekali gus puas dengan persembahan yang sudah disusun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 6:00 AM